Empat beranak melecur, rumah terbakar
BACHOK - Empat beranak masing-masing berusia antara 15 hingga 40-an melecur selepas rumah mereka terbakar di Kampung Gong Hilir di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lelaki yang merupakan ketua keluarga tersebut melecur pada leher dan kedua-dua lengan serta tangan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II Lokman Yusoh berkata, kebakaran itu menyebabkan isteri kepada lelaki berkenaan cedera pada kedua-dua lengan dan tangan.
"Anak perempuan mereka cedera pada kedua-dua lengan dan tangan.
"Begitu juga anak lelaki yang melecur pada kedua-dua lengan serta tangan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut beliau, bagaimanapun mereka semua selamat dan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ujar Lokman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 pagi dan seramai 14 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran yang melibatkan rumah kediaman jenis kekal yang terbakar 50 peratus itu berjaya dikawal pada jam 6.23 pagi.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.40 pagi tadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!