Waspada penipuan urusan ibadah

Ia bukan sahaja melibatkan kerugian tetapi juga menyebabkan hilangnya keberkatan

PAKEJ haji, umrah dan badal haji serta umrah antara penipuan yang sering kali dilaporkan dalam kalangan masyarakat kita. -Foto: Canva
PAKEJ haji, umrah dan badal haji serta umrah antara penipuan yang sering kali dilaporkan dalam kalangan masyarakat kita. -Foto: Canva
A
A
A

ZAMAN sekarang penuh dengan tipu daya jika kita tidak berwaspada sehinggakan ada pihak yang tergamak menipu dalam urusan agama.

Lebih menyedihkan apabila ia turut membabitkan syarikat yang mengendalikan urusan ibadah umat Islam termasuklah pakej umrah, haji, korban dan lain-lain.

Ketahuilah bahawa perbuatan menipu yang dilakukan dengan pelbagai helah untuk mengaut keuntungan merupakan tindakan tercela.

Demikian antara inti pati khutbah Jumaat yang ditekankan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) minggu lalu.

“Penipuan dengan pelbagai muslihat hingga ke peringkat sanggup mengambil harta orang lain secara batil bukan sahaja menyebabkan individu tersebut menanggung kerugian tetapi ia termasuk sebagai perbuatan dosa dan zalim,” katanya sepertimana dipetik menerusi teks khutbah Jumaat jabatan berkenaan bertajuk ‘Waspada penipuan pengurusan ibadah’.

ELAK terburu-buru ketika melakukan sebarang urusan melibatkan ibadah dengan menyemak dan meneliti tawaran mahupun agensi terlibat sebelum membuat keputusan selanjutnya. -Foto: Canva
ELAK terburu-buru ketika melakukan sebarang urusan melibatkan ibadah dengan menyemak dan meneliti tawaran mahupun agensi terlibat sebelum membuat keputusan selanjutnya. -Foto: Canva

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda meredai (suka sama suka) antara kamu." (Surah an-Nisa’: 29)

Artikel Berkaitan:

Jika diperhalusi, sikap tidak jujur dan telus seumpama itu sebenarnya banyak membawa kemudaratan yang akhirnya menyebabkan hilangnya keberkatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Penjual dan pembeli mempunyai hak memilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan berterus terang (tentang keadaan barang), mereka akan mendapat keberkatan dalam jual beli mereka. Dan jika mereka berbohong dan menutupi (kecacatan barang), maka akan dihapuskan keberkatan jual beli mereka.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Empat jenis penipuan ibadah

Menerusi teks khutbah Jumaat itu, mimbar menyenaraikan beberapa kegiatan penipuan dalam pengurusan ibadah seperti berikut:

1. Tawaran pakej ibadah haji dan umrah.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia merekodkan kes penipuan pengendalian pakej ibadah haji dan umrah yang meningkat. Sebanyak 518 kes difailkan bagi tempoh awal tahun 2023 sehingga Ogos tahun sama melibatkan kerugian RM9 juta.

Jika dibandingkan tahun sebelumnya iaitu 2022, tribunal hanya menerima 62 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM2.1 juta.

PENIPUAN melibatkan urusan ibadah bukan sahaja membabitkan kerugian kepada mangsa, tetapi juga membawa banyak kemudaratan lain. -Foto: Canva
PENIPUAN melibatkan urusan ibadah bukan sahaja membabitkan kerugian kepada mangsa, tetapi juga membawa banyak kemudaratan lain. -Foto: Canva

Antara bentuk penipuan yang sering diadukan adalah tidak memenuhi tawaran yang diiklan atau dijanjikan merangkumi jenis bilik penginapan, jarak tempat tinggal dengan Masjid Nabawi atau Masjidil Haram dan kemudahan pengangkutan. Malah, ada jemaah yang terkandas dalam perjalanan atau semasa di Tanah Suci.

2. Penipuan badal haji dan umrah.

Kepada mereka yang ingin melakukan badal haji atau umrah untuk ahli keluarga yang sudah meninggal dunia atau uzur, mimbar menasihatkan agar berwaspada ketika memilih pihak yang melaksanakannya. Dibimbangi ibadah itu tidak dilaksanakan dengan sempurna atau pihak diamanahkan hanya sekadar mengambil upah tanpa melakukannya.

3. Kutipan derma, sedekah atau wakaf.

Terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan penipuan dan penyelewengan terhadap dana kutipan derma dan sumbangan orang ramai.

Dalam hal itu, terdapat sumbangan diperkenalkan menggunakan nama badan amal, program kebajikan, rumah anak yatim, pembinaan masjid atau surau yang tidak diketahui kesahihan kewujudannya.

4. Mempromosi tokoh Islam yang berpengaruh secara salah dan tanpa pengetahuan tuan badan.

Gara-gara mahu mengumpul dana dan mengurusnya secara tidak telus, ada pihak sanggup menggunakan tokoh Islam terkemuka tanpa izin mereka. Ia merupakan perilaku tidak bermoral dan sangat berdosa.

Di Perak, setiap kegiatan memungut derma disyaratkan untuk memperoleh kebenaran terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Elak terjerat helah licik

Bagi mengelak lebih ramai mangsa terjerat dengan taktik licik penipuan itu dalam urusan muamalah, JAIPk mengingatkan umat supaya teliti ketika melakukan pelbagai perkara dengan menyemak dan menyiasat apa juga tawaran, iklan, permintaan serta rayuan dilakukan.

Sekiranya berhajat untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, buatlah semakan latar belakang syarikat atau agensi berkenaan.

KENAL pasti dan teliti dahulu sebarang bentuk tawaran, iklan, permintaan dan rayuan dilakukan agar tidak terpedaya dengan helah penipuan dalam urusan ibadah. -Foto: Canva
KENAL pasti dan teliti dahulu sebarang bentuk tawaran, iklan, permintaan dan rayuan dilakukan agar tidak terpedaya dengan helah penipuan dalam urusan ibadah. -Foto: Canva

“Pastikan pilih syarikat atau agensi yang menawarkan pakej berpatutan, bukan terlalu murah atau menarik.

“Paling penting, carilah agensi pelancongan yang berdaftar dan mempunyai lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, selain menyelidiki maklumat syarikat. Lebih meyakinkan jika agensi memaparkan maklumat audit tahunan pengurusan kewangan,” katanya.

Jika ingin menderma, JAIPk menasihatkan agar kita memastikan pihak terbabit benar-benar wujud dan telah pun mendapat kebenaran untuk memungut sumbangan daripada pihak berkuasa agama setempat.

“Sekiranya wujud sebarang keraguan terhadap kegiatan pungutan derma, segera laporkan kepada pihak berkuasa,” titipnya.

Kepada mereka yang tergelincir dalam kancah urus niaga sebegitu, JAIPk mengingatkan supaya mereka segera bertaubat.

“Sedarlah bahawa perbuatan itu adalah haram di sisi Islam dan tidak diberkati ALLAH SWT.

“Jagalah hubungan dengan ALLAH SWT dan sesama manusia,” ungkapnya

*Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak dan disiarkan menerusi laman web rasmi jabatan berkenaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!