Kenali ciri-ciri ajaran sesat

Barah dalam negara itu perlu dibanteras sehingga ke akar umbi, tidak boleh diberi ruang berputik kembali

AJARAN sesat turut disebarkan melalui laman web dan media sosial seiring dengan perkembangan teknologi, pengguna perlu melaporkan kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat ajaran yang menyeleweng disebarkan di dalam negara. -Foto: 123rf
AJARAN sesat turut disebarkan melalui laman web dan media sosial seiring dengan perkembangan teknologi, pengguna perlu melaporkan kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat ajaran yang menyeleweng disebarkan di dalam negara. -Foto: 123rf
A
A
A

PENYELEWENGAN akidah melalui ajaran sesat yang menular dan mencengkam lubuk jantung serta minda sebahagian umat Islam dari dulu hingga ke hari ini seolah-olah tiada penghujungnya.

Di negara kita khususnya di negeri Selangor, ajaran sesat telah menjadi satu barah kepada negara dan ia perlu dibanteras sehingga ke akar umbi, malah tidak boleh diberi ruang serta peluang untuk ia berputik semula.

Kadang-kadang masyarakat keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ajaran sesat, bahaya dan ciri-cirinya kepada umat Islam terutamanya kepada golongan muda.

Maksud ajaran sesat

Definisi ajaran sesat ialah apa-apa ajaran, fahaman atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan hakikatnya bukan daripada ajaran Islam.

Bahkan, ia bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas serta pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dan telah diputuskan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

BERITA mengenai penyebaran ajaran sesat di dalam negara sentiasa diwar-warkan agar masyarakat tidak terpengaruh dengannya.
BERITA mengenai penyebaran ajaran sesat di dalam negara sentiasa diwar-warkan agar masyarakat tidak terpengaruh dengannya.

Artikel Berkaitan:

Ia amat bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang ditakrifkan oleh bekas Mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah.

Menurutnya, akidah Ahli Sunnah wal Jamaah itu ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup baginda dan para sahabat terutamanya khulafa ar-Rasyidin mengenai akidah, syariah serta akhlak yang dibawa sejak zaman Nabi SAW dan sahabat baginda.

Dalam pada itu, masyarakat Islam juga harus cakna dalam mengenali ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah diperdaya, dipujuk rayu oleh pemimpin dan pengikut ajaran sesat, yang akhirnya terjebak ke lembah syirik.

Antara ciri-ciri ajaran sesat ialah:

1. Mempersenda, menghina dan ingkar isi kandungan al-Quran sama ada sebahagian daripada mana-mana ayat al-Quran atau keseluruhannya.

Ia termasuk mengubah, menambah dan meminda serta menafikan keaslian al-Quran sedia ada sebagaimana iktiqad ajaran Syiah dan Qadiani.

2. Mempersenda, menghina dan ingkar syariat Nabi Muhammad SAW serta menidakkan syariat yang baginda SAW bawa, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya.

AJARAN Islam yang dibawa Rasulullah SAW sudah lengkap dan tidak perlu lagi diubah suai atau ditambah dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng. -Foto: Canva
AJARAN Islam yang dibawa Rasulullah SAW sudah lengkap dan tidak perlu lagi diubah suai atau ditambah dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng. -Foto: Canva

Contohnya, ajaran agama Bahai, Qadiani, Ayah Pin dan Tuhan Harun.

3. Menyamakan agama Islam dengan agama lain, dengan menyatakan tiada bezanya agama Islam dan agama selain Islam sebagaimana kefahaman liberalisme serta pluralisme yang disebarkan melalui media sosial mahupun penulisan.

4. Mencela dan mengkafirkan isteri-isteri serta sahabat Rasulullah SAW sebagaimana yang diiktiqad, dilakukan dan disebarluaskan oleh puak-puak Syiah di seluruh dunia.

5. Menyerahkan diri, harta, keluarga dan membayar zakat kepada ketua kumpulan sahaja.

Ketua kumpulan memperdaya, memperkuda dan mempergunakan pengikut agar mengumpul serta menyerahkan semua harta sama ada kereta, rumah, wang ringgit dan sebagainya, kononnya atas dasar perjuangan, jihad serta pergorbanan yang suci.

6. Menjadikan silat sebagai wasilah bagi mendapat pengikut sebagaimana pernah diamal oleh pengamal silat Nasrul Haq yang telah diharamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 1987.

Ajaran Nasrul Haq berselindung di belakang ayat-ayat suci al-Quran dan hadis sehingga boleh mengelirukan orang lain tentang perkara-perkara ghaib.

7. Mengaku sebagai Imam Mahdi dengan merekrut pengikut-pengikut yang taasub kepada pemimpin.

Dia mengaku sebagai Imam Mahdi atau diangkat oleh pengikut sebagai Imam Mahdi bagi menarik perhatian serta dukungan dalam dan luar negara.

8. Menjadikan tarekat tertentu sebagai tapak mencari pengikut dan pengaruh bagi mengaburi mata masyarakat.

Sebahagian daripada mereka yang berkepentingan telah mengambil kesempatan menjadikan tarekat sebagai jalan pintas untuk mendapat sokongan pengikut-pengikut yang cetek ilmu agamanya.

BERHATI-HATI dengan ajakan individu atau kumpulan yang membawa ajaran yang bercanggah dengan Islam, sebaiknya rujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk pengesahan. -Foto: Canva
BERHATI-HATI dengan ajakan individu atau kumpulan yang membawa ajaran yang bercanggah dengan Islam, sebaiknya rujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk pengesahan. -Foto: Canva

9. Mengamalkan wirid-wirid tertentu untuk mencapai maqam tertentu sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah tarekat yang sesat seperti tarekat Mufarridiyah yang difatwakan sesat pada tahun 1987.

Sepatutnya wirid-wirid yang diamalkan adalah untuk menyucikan jiwa seseorang daripada sifat mazmumah kepada seorang yang berjiwa mahmudah dan bukannya untuk menjadi insan suci setelah berwirid sehingga akhirnya meninggalkan syariat.

Kepelbagaian sudut tipu helah sebagaimana ciri-ciri ajaran sesat dinyatakan ini telah banyak mempengaruhi mangsa.

Ia telah menyebabkan institusi kekeluargaan hancur, kehidupan bermasyarakat terancam, nilai budaya dan pemikiran umat Islam diragut kejam kerana kepentingan diri serta kumpulan.

Sekiranya perkara itu terus dibiarkan berlarutan, ia pasti akan menggoncang keselamatan negara kita yang tercinta ini.

Maka, perlu ada satu mekanisme tuntas dalam menyelesaikan isu ajaran sesat ini dengan mendidik dan membimbing umat Islam bermula dari bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti.

Selain itu, penerangan berterusan hendaklah diberikan, penyebaran ilmu yang sahih dan betul melalui media sosial, masjid serta surau.

Tidak cukup dengan itu, semua pihak sama ada masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri serta pihak berwajib lain mesti berkerjasama erat ibarat isi dan kulit.

Jangan hanya berpeluk tubuh bagi memastikan ajaran sesat dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

***Penulis merupakan pegawai dari Majlis Agama Islam Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!