AGC tolak representasi Guan Eng gugur kes terowong

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi menggugurkan empat pertuduhan rasuah terhadapnya membabitkan pembinaan terowong itu, pada dua minggu lepas.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Guan Eng telah mengemukakan representasi itu pada 28 Jun lalu.

“Dokumen terbabit telah dikaji dan pihak AGC membuat keputusan untuk menolaknya pada awal bulan ini,” katanya yang menambah kehadiran Guan Eng dalam prosiding ini telah dikecualikan.

Susulan itu, Hakim, Azura Alwi menetapkan sambung bicara bagi kes terbabit diteruskan pada 8 Ogos depan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, untuk dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi, pada Mac 2011.

Dia juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan empat pertuduhan rasuah terhadapnya membabitkan pembinaan terowong itu, pada Jun lepas.

Pembelaannya menyertakan beberapa alasan termasuk keterangan saksi utama pendakwaan, Zarul Ahmad kepada mahkamah, bercanggah dengan laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!