redONE tawar RM1 juta kepada atlet raih emas Olimpik 2024

Ameen Amaendran
Ameen Amaendran
A
A
A

SHAH ALAM - Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Network Sdn Bhd (redONE) menawarkan ganjaran berjumlah RM1 juta kepada atlet negara yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Ameen Amaendran Abdullah berkata, insentif wang tunai itu akan diagihkan secara ansuran bulanan dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu beliau menjelaskan, wang berkenaan akan dikongsi bersama sekiranya ramai atlet yang berjaya meraih pingat emas selain ditawarkan sebagai duta redONE selama empat tahun sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

"Sebagai sebuah syarikat yang berakar umbi dalam memperjuangkan pembangunan sukan di Malaysia, kami melihat sumbangan RM1 juta bukan sahaja sebagai penghormatan kepada atlet tetapi tanda sokongan tidak belah bahagi terhadap semangat kesukanan dan kebanggaan negara.

“Kami percaya kepada kuasa sukan untuk mencetuskan perpaduan dan redONE terus komited untuk memacu atlet ke tahap yang lebih tinggi.

“Matlamat kami bukan sahaja untuk meraikan pencapaian atlet semasa, tetapi membuka peluang kepada generasi akan datang untuk mencapai potensi membanggakan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebagai rekod, temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 26 Julai ini menyaksikan 26 atlet negara layak bertanding dalam pelbagai acara.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan syarikat korporat lain untuk bersama-sama menyokong serta menaikkan semangat atlet negara secara kolektif bagi memberi inspirasi kepada generasi baharu sekali gus membawa kegemilangan sukan Malaysia di pentas dunia.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, redONE telah menyokong sukan Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk kerjasama dengan kelab bola sepak tempatan seperti Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC dan terkini, PDRM FC dan Imigresen FC.

Selain itu syarikat tersebut turut menaja beberapa kejohanan sukan seperti Lawan Pedang Kuala Lumpur, Skuasy Selangor dan Kejohanan Badminton Purple League.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!