Upacara ketenteraan pelengkap istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong

Anggota 1 RAMD ketika melakukan sesi raptai bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok di Istana Negara. Foto Bernama
Anggota 1 RAMD ketika melakukan sesi raptai bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok di Istana Negara. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Upacara penuh tradisi ketenteraan daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pelengkap kepada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim esok.

Sebagai pendahulu kepada istiadat gilang-gemilang yang berlangsung lima tahun sekali, acara penuh tradisi ketenteraan itu merupakan lambang taat setia ATM kepada pasukan pertahanan negara di bawah Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.


Pasukan pancaragam pengiring dari ATM ketika melakukan sesi raptai bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok di Istana Negara. Foto Bernama
Pasukan pancaragam pengiring dari ATM ketika melakukan sesi raptai bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok di Istana Negara. Foto Bernama

Istiadat pertabalan esok menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota ATM daripada cabang darat, laut dan udara yang memainkan peranan penting daripada sekecil-kecil tugasan sebagai pembuka pintu kenderaan diraja sehinggalah membentuk Kawalan Kehormatan Utama untuk mempersembahkan Hormat Diraja.

Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Bgd), Brig Jen Muhammad Fauzi Abu Bakar berkata, penugasan ATM bermula dari pintu utama Istana Negara bagi menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu yang akan diberi penghormatan daripada Kawalan Kehormatan Kuarter.

Muhammad Fauzi. Foto Bernama
Muhammad Fauzi. Foto Bernama

"Kawalan Kehormatan Kuarter melibatkan 12 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) disusuli Istiadat Pecah Bendera," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Bagi Kawalan Kehormatan Utama, Muhammad Fauzi berkata, seramai empat pegawai dan 103 anggota dari 1 RAMD diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan akan membawa dua panji iaitu Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen 1 RAMD.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan lain dalam ATM yang terlibat dalam penugasan istiadat pertabalan antaranya kumpulan Regalia membabitkan pengiring diraja, pengawal tombak dan peniup nafiri daripada Skuadron Istiadat Berkuda manakala pengawal anjung, jejawat payung dan tombak daripada 1 RAMD.


Istiadat pertabalan esok menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota ATM daripada cabang darat, laut dan udara. Foto Bernama
Istiadat pertabalan esok menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota ATM daripada cabang darat, laut dan udara. Foto Bernama

"Turut terlibat pasukan pancaragam pengiring, pembawa alat-alat kebesaran diraja dan Kumpulan Tembakan Meriam Kehormatan dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD),” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, pada istiadat pertabalan esok, 21 das tembakan meriam atau Tembakan Kehormatan yang lebih dikenali 21 Gun Salute akan dilepaskan dan ia adalah amalan biasa dipraktikkan di peringkat antarabangsa terutamanya bagi negara-negara Komanwel.

Beliau berkata, sebanyak enam unit meriam digunakan pada istiadat tersebut yang dilaksanakan lima pegawai dan 60 anggota dari 41 Bti RAD.

Bagi memastikan kelancaran istiadat pertabalan esok, Muhammad Fauzi berkata, persiapan rapi termasuk sesi raptai dilakukan penuh teliti sejak dua minggu lepas.

Suasana sekitar sesi raptai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara. Foto Bernama
Suasana sekitar sesi raptai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara. Foto Bernama

"Melihat daripada siri raptai yang kita adakan di Istana Negara, saya berkeyakinan bahawa pegawai dan anggota yang terlibat sudah bersedia bagi membolehkan istiadat ini berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fikri, 33, berkata, peranannya sebagai ketua Kawalan Kehormatan Utama merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik-baiknya bagi memastikan mutu kawalan yang cemerlang dapat dipersembahkan pada istiadat pertabalan, esok.

Katanya penjagaan makanan dan kesihatan dititikberatkan bagi memastikan laungan suara dan fizikal tubuh berada dalam keadaan mantap supaya tidak menjejaskan Kawalan Kehormatan Utama.

"Ini kali pertama saya menjadi ketua dan terlibat dalam Istiadat Pertabalan YDP Agong, sudah tentu saya mahu buat yang terbaik," kata anak kelahiran Muar, Johor itu ketika ditemui pada sesi latihan di Kem Perdana Sungai Besi di sini.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!