Lindungi PATI, penyelia pusat kecantikan didenda RM78,000

Siew Mei (tengah) dikenakan denda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat selepas mengaku bersalah membenarkan 13 imigran haram masuk dan tinggal di premis syarikatnya, Januari lalu.
Siew Mei (tengah) dikenakan denda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat selepas mengaku bersalah membenarkan 13 imigran haram masuk dan tinggal di premis syarikatnya, Januari lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Penyelia sebuah pusat kecantikan didenda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pada Jumaat atas kesalahan membenarkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di premis syarikat itu, Januari lalu.

Leong Siew Mei, 63, hadir di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin mengaku melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis tidak bernama di Jalan Medan Ipoh, Medan Ipoh Bestari dalam daerah Kinta jam 11 malam pada 12 Januari 2024.

Mengikut pertuduhan, wanita warga emas itu didakwa membenarkan 13 imigran haram iaitu dua lelaki warga Myanmar, empat wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan seorang wanita warga Laos berusia antara 20 hingga 40 tahun memasuki dan berada dalam premis yang mana tertuduh mempunyai kawalan ke atas premis tersebut.

Bagi kesalahan itu, Siew Mei didakwa melakukan kesalahan Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Tertuduh yang diwakili Peguam Mior Shah Azizi Mior Shaari memohon denda minimum dikenakan memandangkan anak guamnya sudah tidak bekerja dan setiap imigran perlu membayar denda.

"Ini kesalahan pertama tertuduh dan pengakuan bersalahnya menjimatkan masa dan kos mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM6,000 bagi setiap PATI dengan jumlah keseluruhan RM78,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen negeri, Mastura Mohamad Tajuddin.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan semasa serbuan dilakukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati premis berkenaan berselindung di sebalik perniagaan dengan menawarkan khidmat seks dan pelacuran.

Semua 13 imigran terlibat telahpun dijatuhi hukuman pada Februari lalu atas kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!