KPDN Pahang serbu tujuh premis, rampas barang tiruan berjenama
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang merampas pelbagai barangan berjenama terkenal disyaki tiruan bernilai RM45,000 hasil serbuan ke atas tujuh premis perniagaan di negeri ini, pada Selasa dan Rabu lalu.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis dan pekerja untuk membantu siasatan.
Menurutnya, operasi serbuan ke atas lima premis menjual aksesori telefon dan dua premis menjual barangan penjagaan diri itu disertai 25 anggota penguat kuasa KPDN Pahang dan KPDN Cawangan Temerloh bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan.
"Serbuan dijalankan ke atas premis menjual barangan tiruan sekitar daerah Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah aksesori telefon bimbit dan barangan penjagaan diri jenama terkenal dipamerkan di dalam premis bagi tujuan perdagangan atau jualan kepada pengguna," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Jezlily berkata, siasatan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
"Beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan," katanya.
Tambah beliau, bagi kesalahan itu, jika melibatkan pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 jika sabit kesalahan.
"Bagi individu boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Kesalahan kedua atau berikutnya, individu terlibat berdepan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.
Beliau berkata, KPDN memberikan peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah.
"Pengguna juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara selain mengancam keselamatan pengguna itu sendiri.
"Pihak kami mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!