Kes keracunan makanan: Polis tunggu laporan kimia

Noor Ariffin (kiri) ketika Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.
Noor Ariffin (kiri) ketika Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - Polis masih menunggu laporan kimia bagi melengkapkan siasatan kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian, 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan hanya menunggu laporan berkenaan.

Menurutnya, secara keseluruhan, seramai 22 individu diambil keterangan bagi siasatan kes.

“Ketika ini, kita (polis) masih menunggu laporan kimia yang kebiasaannya akan mengambil masa kira-kira sebulan.

Ariffin (kanan) membuat pelupusan barang kes di IPD Gombak, pada Jumaat.
Ariffin (kanan) membuat pelupusan barang kes di IPD Gombak, pada Jumaat.

"Sebaik diperoleh ia akan diteliti sebelum tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan bayi perempuan 19 bulan dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak.

Berikutan itu, polis telah memanggil pengusaha katering, guru dan penganjur program di sekolah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan pada program sekolah terbabit.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan.

Keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!