120 fasiliti proses e-waste sokong, promosi konsep perlombongan urban

E-waste mempunyai komponen logam berharga seperti paladium, tembaga, perak bahkan emas yang boleh diperoleh semula. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nik Nazmi)
E-waste mempunyai komponen logam berharga seperti paladium, tembaga, perak bahkan emas yang boleh diperoleh semula. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nik Nazmi)
A
A
A

SHAH ALAM - 120 fasiliti memproses e-waste yang beroperasi di seluruh negara mampu menyokong kitaran ekonomi pengurusan bahan buangan terjadual dengan lebih lestari dan mampan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang berusaha untuk mengurangkan penjanaan bahan buangan terjadual yang perlu dilupuskan melalui proses guna semula dan pemerolehan kembali.

Menurutnya, ia juga bertujuan mempromosikan konsep perlombongan urban kerana e-waste mempunyai komponen logam berharga seperti paladium, tembaga, perak bahkan emas yang boleh diperoleh semula.

“Kalau kita bercakap tentang pusat pemprosesan yang bersifat separa, ada dua di Perlis, sembilan di Kedah, 18 di Pulau Pinang dan tiga di Perak.

“Pemerolehan kembali secara penuh pula, ada tujuh di Pulau Pinang dan satu di Perak. Perbezaan kedua-duanya adalah separa proses pengasingan fizikal dan hasilnya masih buangan terjadual.

“Tetapi, kalau bersifat penuh perlu menggunakan teknologi untuk menghasilkan logam berharga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan daripada ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berhubung pengurusan bahan buangan terjadual e-waste kod SW110 semasa persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Nik Nazmi memaklumkan, NRES turut bercadang untuk menambah kemudahan bagi rawatan dan pelupusan sisa terjadual di Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tambah ahli Parlimen Setiawangsa itu, terdapat tiga fasiliti ‘Integrated Scheduled Waste Management Facilities’ (ISWMF) yang dicadangkan iaitu di Zon Selatan (Johor), Zon Pantai Timur (Terengganu) dan Zon Utara (Perak), namun ia masih di peringkat perbincangan.

“Ada satu kemudahan ISWMF di Sarawak iaitu Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd.

“Dua lagi di Semenanjung Malaysia seperti Kualiti Alam Sdn Bhd dan paling terkini adalah J&T Berjaya Alam Murni Sdn Bhd,” ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!