Aktivis tamat mogok lapar selepas 200 jam

Tian Chua (dua dari kiri) meraikan Mytheyar (kiri) yang menamatkan mogok laparnya selepas 200 jam.
Tian Chua (dua dari kiri) meraikan Mytheyar (kiri) yang menamatkan mogok laparnya selepas 200 jam.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), M Mythreyar menamatkan mogok lapar selepas 200 jam melakukan mogok itu bagi membantah penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat milik BlackRock yang dikaitkan dengan Israel.

Mythreyar, 46, mengakhiri mogok laparnya yang bermula 10 Julai lalu pada jam 4.30 petang Khamis.

Jurucakap SSP, Tian Chua berkata, Mythreyar bersetuju untuk menghentikan mogok tersebut pada jam ke-200 mengambil kira tahap kesihatan semasanya.

“Namun, ini tidak bermaksud kempen berhenti di sini. Perjuangan akan diteruskan di platform yang berbeza,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada 5 Julai, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar bagi membantah penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik penuh BlackRock.

Mogok tersebut berpangkalan di Dataran Merdeka iaitu terletak hanya dua kilometer (km) dari bangunan Parlimen yang menyaksikan dia berjemur di siang hari, tidur beralaskan tilam nipis dan dikelilingi pelbagai poster membantah rancangan menjual MAHB kepada GIP.

Mytheyar mengakhiri mogok laparnya pada jam 4.30 petang Khamis selepas memulakannya pada 10 Julai lalu.
Mytheyar mengakhiri mogok laparnya pada jam 4.30 petang Khamis selepas memulakannya pada 10 Julai lalu.

Menerusi penjualan terbabit, GIP dilaporkan akan memiliki 30 peratus kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan MAHB, bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Langkah tersebut mencetuskan bantahan pemimpin pembangkang dan kumpulan pro-Palestin yang menuntut kerajaan membatalkan perjanjian berkenaan memandangkan pemilik GIP, BlackRock, berdepan tuduhan bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.

Tian Chua berkata, SSP merayu kepada Mytheyar untuk menghentikan mogok laparnya kerana bimbang dengan tahap kesihatannya yang semakin merosot.

“SSP melahirkan rasa hormat dan penghargaan kami terhadap segala rintangan dan kepayahan yang dialami oleh Mythreyar. Walaupun kami mengagumi keberanian dan ketabahan yang ditunjukkan, kami bimbang dengan tahap kesihatan beliau yang semakin merosot," katanya.

Tian Chua menegaskan, objektif mogok lapar tersebut ialah untuk menggesa kerajaan supaya kekal konsisten dengan perjuangan solidariti bersama Palestin.

Katanya, perbuatan berkenaan juga selari dengan gesaan masyarakat umum yang menentang pelan kerajaan menswastakan lapangan terbang Malaysia untuk diambil alih oleh GIP atau Blackrock.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!