Pembangkang didakwa persenda amalan qunut nazilah
SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang didakwa mempersendakan amalan qunut nazilah susulan tindakan mereka membaca doa tersebut selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, doa qunut nazilah yang juga dikenali sebagai doa penghancur musuh adalah amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW khususnya ketika peperangan Ahzab.
Menurutnya, ia adalah munajat tentera Islam yang diketuai Rasulullah ketika dikepung oleh tentera Musyrikin Makkah yang berpakat dengan kelompok tertentu masyarakat Madinah.
“Saya ingin bertanya pihak mana yang ditujukan qunut nazilah ini? Kelompok ahli Parlimen bukan Islam kah? Atau semua ahli Parlimen yang menyokong hukuman termasuk Islam, dianggap sebagai orang-orang kafir sama seperti Musyrikin Makkah?
“Menyamakan persaingan politik antara parti dengan perseteruan Rasulullah SAW dan umat Islam dengan Musyrikin Makkah adalah jelas suatu sikap yang berasal daripada ketaasuban sempit (asabiyyah) kepartian. Bukan dari ajaran Islam.
“Agama Islam seharusnya menjadi landasan dalam berpolitik. Bukan sahaja dari sudut akidah dan syariah tetapi juga akhlak mahmudah yang perlu diamalkan. Jangan menjadikan agama Islam sebagai tunggangan bagi meraih sokongan politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membaca doa qunut nazilah selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan menggantung Wan Ahmad Fayhsal selama enam bulan, pada Khamis.
Bacaan doa qunut berkenaan dipimpin Zulkifli Islam (PN-Jasin) yang juga pemimpin Pas Melaka dan dibacakan di dalam Dewan Rakyat sebaik persidangan ditangguhkan untuk rehat.
Justeru, Amidi menggesa pihak berwajib khususnya mufti memberikan pencerahan yang sewajarnya kerana kejadian itu sama dengan kes membaca qunut nazilah ketika pertandingan ragbi antara sekolah di daerah Sabak Bernam pada Januari lalu.
“Ia jelas mencemari semangat ukhuwah Islamiah yang menjadi kewajipan seorang yang mengaku beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Jangan sampai perbezaan pendirian politik memutuskan tali persaudaraan Islam sesama kita,” jelasnya.
@sinarharianonline Pembangkang didakwa persenda amalan qunut nazilah Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Politik #Qunut #Nazilah #Parlimen #DewanRakyat #Pembangkang #Agama #Islam
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!