Dua pemilik premis, 48 warga asing didakwa
KUANTAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang mendakwa dua pemilik premis warga tempatan dan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara di Mahkamah Sesyen PATI Kemayan, Bera pada Khamis.
JIM Pahang dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan, pemilik premis tersebut masing-masing didenda RM15,000 dan RM35,000 selepas mengaku salah atas tuduhan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membenarkan PATI berada di premis mereka.
Menurut kenyataan itu, denda antara RM6,000 hingga RM10,000 dijatuhkan terhadap empat PATI warga Myanmar kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Dan 15(1)(c) akta yang sama kerana masuk negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
"Selain itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga lapan bulan terhadap 42 PATI termasuk 21 warga Myanmar, Indonesia (17) dan Bangladesh(4) atas kesalahan sama.
"Kes terhadap dua lagi PATI akan disebut semula pada satu tarikh lain," jelas JIM Pahang.
Menurut kenyataan itu lagi, semua tertuduh yang didakwa itu ditahan hasil operasi penguatkuasaan jabatan itu sepanjang Julai tahun ini.
"JIM Pahang mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil pekerja asing tanpa pas atau permit yang sah serta membenarkan PATI berada di premis mereka.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang memberi perlindungan kepada mereka," ujarnya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, JIM Pahang telah menghantar pulang 37 lelaki PATI warganegara Pakistan dan Bangladesh ke negara asal, Selasa lalu.
Proses penghantaran pulang PATI terbabit dilakukan menggunakan jalan udara melalui Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Semua PATI yang dihantar pulang itu tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan pelbagai kesalahankesalahan lain yang diperuntukkan.
"Program pemindahan PATI yang dikendalikan Depot Imigresen Kemayan itu merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan JIM Negeri Pahang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!