Polis teruskan cari barang peribadi Nur Farah Kartini di Sungai Trolak
HULU SELANGOR - Polis meneruskan lagi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pencarian dilakukan unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk mencari barang peribadi mangsa.
"Kita (polis) meneruskan lagi hari ini usaha cari bukti kes iaitu barang peribadi mangsa di Sungai Trolak.
"Siasatan kes masih dijalankan dan setakat ini punca kematian mangsa belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas mengenai adakah operasi pencarian diteruskan di lokasi utama pembunuhan iaitu ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Bernam, Ahmad Faizal berkata, buat masa ini ia telah selesai.
"Cuma sekiranya ada tindakan lain, itu bergantung kepada pasukan forensik," ujarnya.
Sebelum ini, polis telah menemui telefon pintar dipercayai milik mangsa di lokasi utama pembunuhan, manakala beg tangan di lokasi kedua iaitu Sungai Trolak pada Rabu.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di ladang kelapa sawit terbabit pada jam 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis telah ditahan sebelum direman tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!