KPN mahu PDRM lakar pencapaian lebih baik

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh status Pencapaian Program Teras 6A pada tahap yang baik iaitu melebihi 60 peratus bagi tahun 2021 sehingga Jun 2024.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, menerusi Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia (PSPDRM) 2021-2025 yang telah dibangunkan, ia mempunyai enam teras strategik dengan 23 petunjuk prestasi utama (KPI) terpilih, 32 strategi, 135 program dan 362 aktiviti dipertanggungjawabkan kepada jabatan-jabatan berkaitan.

Beliau berkata, Jabatan Pengurusan PDRM diletakkan di bawah Teras Strategik 6A iaitu mentransformasikan tadbir urus organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti.

Kata beliau, sasaran itu diletakkan dengan dua bidang fokus iaitu Bidang Fokus A adalah 'Transformasi Dasar Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia', manakala Bidang Fokus B untuk Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan PDRM.

"Saya berharap pada tahun 2025 kelak, pencapaian ini boleh mencapai tahap cemerlang.

"Apa yang jelas, pencapaian ini sekali gus meningkatkan imej pasukan, kepuasan pelanggan serta keyakinan masyarakat terhadap PDRM," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai anjuran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, pada Jumaat.

Razarudin berkata, PDRM menerusi Jabatan Pengurusan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga pasukan serta memantapkan sistem dan prosedur kerja bagi memastikan kelangsungan tadbir urus yang cemerlang.

Tegas beliau, menjadi keutamaan bagi PDRM mempunyai modal insan yang profesional, mempunyai kebolehan dan keupayaan diri dalam menyampaikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, PDRM sedang berusaha menaik taraf Maktab PDRM Kuala Lumpur agar menjadi hub penyelidikan meliputi semua aspek dalam bidang kepolisan.

Katanya, hub penyelidikan itu pastinya akan memberi tumpuan khusus berkaitan keselamatan siber serta pencegahan penyalahgunaan dadah.

Tegas beliau, perkara tersebut perlu diberi tumpuan seiring dengan perkembangan teknologi dan kewujudan jenayah bentuk baharu dengan modus operandi yang semakin ke hadapan.

"Saya yakin, kolaborasi dengan para ilmuan dari dalam dan luar negara mampu menyumbang kepada dapatan akademik yang memberi manfaat kepada pasukan PDRM dan masyarakat," ujarnya lagi.

Razarudin berkata, institusi latihan PDRM merupakan institusi yang bertanggungjawab dalam melahirkan generasi pegawai polis yang berketerampilan unggul.

Menurutnya, atas kepentingan peranan institusi, kajian pengukuhan perjawatan bagi pensyarah dan tenaga pengajar dilaksanakan dengan menitikberatkan kelayakan akademik kumpulan pengajar terbabit.

Sebagai perintis, kata Razarudin, pengukuhan perjawatan tenaga pengajar sedang dilaksanakan di empat institusi latihan PDRM iaitu Maktab PDRM Kuala Lumpur, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan Pulapol Bukit Sentosa.

"Semua calon tenaga pengajar yang berkhidmat di institusi ini mestilah mempunyai kelulusan akademik sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dan ke atas," ujarnya.

Bagi merealisasikannya, katanya, Jabatan Pengurusan menerusi Bahagian Latihan dalam proses untuk mengorak langkah melahirkan sumber manusia yang kompeten melalui program latihan kepolisan yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Jelas beliau, menuju ke arah pengiktirafan tersebut, kajian semula ke atas Modul Silibus Program Latihan Asas Kepolisan turut dilaksanakan untuk tujuan penambahbaikan.

"Selain itu, Bahagian Latihan turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerusi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi aspirasi melahirkan warga Malaysia Madani yang berilmu dan berkemahiran," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!