Rakan mati lemas: Lima sahabat didakwa

Lima sahabat didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan mereka minggu lalu.
Lima sahabat didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan mereka minggu lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Lima sahabat didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan mereka minggu lalu.

Tertuduh D Maharaj,36; B Shanmugaservai, 34; Faezatun Firus Arifin, 42; R Praveena,31 dan S Suvipra,34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 38 tahun dengan melakukan satu perbuatan gopoh atau cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 13 Julai lalu lebih kurang jam 2 pagi di dalam kolam mandi sebuah hotel di Port Dickson.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon mahkamah mengenakan jaminan RM8,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi sehingga perbicaraan kes selesai.

Peguam, Wan Shahir Azmir Wan Mohd Razi yang mewakili Maharaj, Shanmugaservai, Faezatun dan Suvipra memohon mahkamah mengenakan wang jaminan rendah terhadap anak guamnya kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Sulaiman yang mewakili Praveena memohon agar hanya satu wang jaminan dikenakan dengan mengenepikan jaminan polis sebelum ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah atas dakwaan memasukkan dadah jenis THC dalam badan minggu lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di antara jam 12.20 pagi hingga 1 pagi, 14 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, jaminan dibenarkan RM2,000 bagi setiap seorang dan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 3 September ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!