17 pelajar Indonesia selami budaya Malaysia di Kubang Pasu
KUBANG PASU - Seramai 17 pelajar tahun akhir Universitas Syiah Kuala Acheh, Indonesia akan menyelami budaya Malaysia melalui program anak angkat di Kampung Halban, Changlun di sini.
Pengarah Program Kuliah Kerja Nyata (KKN), Try Erliansyah berkata, rombongan dari Indonesia itu terdiri daripada empat lelaki dan 13 perempuan dengan pelbagai jurusan seperti kedoktoran, undang-undang dan psikologi.
Katanya, mereka terlebih dahulu berada di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama 16 hari sebelum menyambung program bersama komuniti selama tiga hari.
"Kami memilih Malaysia kerana ingin belajar budaya di sini, walaupun kita serumpun, tetapi budaya kita berbeza.
"Selain itu kami juga akan mengaplikasikan ilmu kami kepada masyarakat di sini dan semoga kedatangan kami ini dapat mengeratkan silaturahim bersama penduduk kampung," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Anak Angkat Program UUM x USK Generasi Nusantara pada Jumaat.
Program terbabit dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Zainol Abidin Mohamad.
Peserta program yang juga pelajar Kedoktoran Haiwan, Sheila Fadillah, 21, berkata, dia teruja dengan sambutan daripada penduduk kampung yang sangat meriah dan ramah.
"Dari turun bas kami sudah disambut meriah oleh keluarga angkat kami, ada juga pertunjukan silat dan Muay Thai.
"Perasaannya seperti berada di kampung sendiri. Saya juga tidak sabar untuk melakukan aktiviti bersama keluarga angkat sepanjang tiga hari ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Padang Halban, Yusof Ramli berkata, ini adalah julung kali masyarakat di situ terlibat dengan program anak angkat.
"Orang kampung semua teruja dan sejak seminggu lalu kami sudah bergotong-royong buat macam-macam untuk persediaan sambut anak angkat.
"Untuk program anak angkat ini, sebanyak enam buah keluarga terlibat yang telah dipilih ketika mesyuarat sebelum ini," katanya.
Menurut Yusof, pelbagai aktiviti telah diatur untuk memperkenalkan budaya negara ini khususnya di Kedah.
"Kita ada ajar buat kuih tradisional, menganyam ketupat dan mengacau bubur asyura.
"Saya harap peserta program berpuas hati dan mereka akan dapat belajar sedikit sebanyak budaya kita untuk bawa balik ke negara mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!