Representasi Sang Kelembai gugur kes hantaran jelik ditolak
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi penulis blog 'Sang Kelembai' untuk menggugurkan pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin menerusi laman Facebook.
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin, 72, telah menyerahkan representasi itu kepada AGC pada Mei lalu.
“Perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak pembelaan menerusi e-mel dan kes ini juga telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 12 Ogos.
"Susulan itu, kami mohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini, dikekalkan,” katanya.
Sementara itu, peguam, Mohd Shamril Afzan yang mewakili Abd Zarin mengesahkan perkara itu.
Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menerusi aplikasi Facebook 'Zaharin Mohamad Yasin' pada jam 2.03 pagi, 21 Disember 2020.
Hantaran itu dibaca di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada jam 3 petang, 22 Disember 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!