Penyaluran maklumat penting pastikan catuan air Melaka berkesan
MELAKA - Penyaluran maklumat mengenai status dan catuan bekalan air secara berkesan penting dalam memastikan semua pihak terutama rakyat di negeri ini memahami langkah melaksanakannya demi menyeimbangkan bekalan air seterusnya memastikan bekalan air berjadual itu berkesan.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, catuan itu dapat memastikan bekalan air negeri ini mencukupi sehingga akhir Mac ini dan bagi menyalurkan maklumat bekalan air dengan berkesan pihaknya telah menggerakkan pelbagai jentera sehingga ke peringkat akar umbi.
"Sekarang ini telah ditetapkan SAMB (Syarikat Air Melaka Berhad) beri maklumat secara harian tentang status air, bagaimana sumber air hendak disalurkan dan kawasan gangguan juga, semua maklumat itu kita salurkan kepada rakyat menerusi media.
"Kita telah gerakkan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) yang telah diberi taklimat mengenai perkara ini. Komunikasi kita dengan semua penduduk, MPKK dan pihak berwajib juga kita laksanakan lebih baik," katanya kepada Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN: Melaka akan laksana catuan bekalan air: Adly
Pada Khamis lepas, Adly berkata, Melaka akan melaksanakan catuan bekalan air secara harian bermula Rabu ini melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk di negeri ini.
Ia bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini, bagaimanapun catuan itu tidak melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.
Adly berkata, SAMB juga meletakkan seorang pegawainya di setiap DUN bagi menerima dan menyelesaikan aduan masalah bekalan air daripada rakyat selain mewujudkan 132 pusat sehenti di kawasan catuan bagi memberi perkhidmatan bekalan air lebih baik.
"SAMB pun telah berjumpa dengan semua pihak terlibat dengan bekalan air. Kita jumpa pihak industri, sekolah dan sebagainya. Tetapi apa yang rakyat harus tahu kita sedang merangka untuk memberi perkhidmatan terbaik, kalau kita buat bekalan berjadual pun, rakyat tetap dapat air, itu paling penting," katanya.
Ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang yang dapat mengatasi masalah bekalan air Melaka, beliau berkata Empangan Jernih di Alor Gajah dekat sini perlu disiapkan segera kerana kegagalan menyiapkan empangan itu pada 2018 membawa kepada catuan bekalan air pada masa ini.
"Kita terkebelakang dalam langkah ini (pembinaan Empangan Jernih), tahun lepas telah dapat kelulusan dan sekarang dalam proses tender. Empangan Jernih mesti disiapkan; ORS (off river storage) di Tasik Biru, Jasin disiapkan 2024 dan pengepaman air kita jalankan. Ini semua penting untuk rakyat kita," katanya.
Pendapat Adly itu senada dengan reaksi rakyat seperti dilaporkan Bernama semalam yang mahu pembinaan Empangan Jernih dipercepatkan bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.
Sementara itu, pegawai pemasaran agensi pelancongan, K Praveena, 27, dari Duyong di sini berkata, penyaluran maklumat awal tentang catuan itu penting bagi memastikan rakyat negeri ini dapat membuat persediaan awal seperti menyimpan air mencukupi.
"Tiada masalah buat persediaan kerana di rumah memang sudah ada tong air. Penyaluran maklumat ini juga perlu dibuat bagi tingkatkan kesedaran untuk kita jimat air. Bekalan air ini tanggungjawab semua, kerajaan beri bekalan air dan kita rakyat berjimat, jangan membazir," katanya.
Bagi pemilik kedai barangan perkakasan, Adrian Lum, 33, tindakan kerajaan negeri membuat pengumuman catuan bekalan air lebih awal dan menyalurkan maklumat dengan baik menyebabkan rakyat lebih tenang.
"Umumkan (catuan) hari Khamis lepas, catuan bermula Rabu ini, ada masa seminggu untuk rakyat buat persediaan, jadi mereka tidak panik, saya berniaga pun stok seperti baldi dan tong air kurang sebelum ini. Memang banyak jual barang ini apabila ada catuan air tetapi ada masa yang panjang untuk kita peniaga dapatkan stok," katanya dari Cheng di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!