KDNK Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024
KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya serta merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 yang mencatatkan 7.4 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM mengumumkan bagi separuh pertama 2024, KDNK meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini,” menurut jabatan itu dalam kenyataan mengenai jangkaan awalan KDNK Suku Tahun Kedua 2024 yang dikeluarkan pada Jumaat.
DOSM menjelaskan peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.
"Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek,” tambah DOSM.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, unjuran pertumbuhan suku kedua itu adalah sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, selain itu, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun.
"Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata, pestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.
Sektor perkhidmatan terus meningkat kepada 5.6 peratus, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; serta kewangan dan insurans, katanya.
Sektor pembuatan pula meningkat kepada 4.7 peratus daripada 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutama produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
"Di samping itu, sektor pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua digit, 17.2 peratus yang didorong oleh prestasi yang kukuh dalam semua subsektor, terutamanya kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya.
Mohd Uzir berkata, sektor pertanian meningkat 7.1 peratus pada suku tahun ini, disumbangkan oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam subsektor kelapa sawit.
"Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh perlahan kepada 3.3 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan oleh subsektor gas asli yang menyederhana,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!