PRK Nenggiri: Jentera PH sedia bantu kempen calon BN

Fahmi (kanan) meninjau raptai penuh Istiadat Pertabalan Agong ke-17 di Istana Negara pada Jumaat. Foto Bernama
Fahmi (kanan) meninjau raptai penuh Istiadat Pertabalan Agong ke-17 di Istana Negara pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jentera Pakatan Harapan (PH) sedia membantu gerak kerja kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, kata Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya akan berhubung dengan pejabat Ketua UMNO Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi meneliti keperluan dalam usaha membantu kempen itu.

"Kami akan memberikan kerjasama baik dan sememangnya saya sendiri mengharapkan kempen ini akan berjalan dengan tertib tanpa menggunakan kata kesat dan menyinggung hati. Berkempenlah dengan baik termasuk di media sosial," katanya ketika ditemui Bernama di Istana Negara.

Terdahulu Fahmi meninjau raptai penuh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan mendengar taklimat daripada wakil Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon BN bagi PRK Nenggiri.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong pada 19 Jun lepas selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!