Dua 'runner' sindiket palsu cap keluar masuk sempadan negara ditahan

Antara rampasan barang kes susulan penahanan dua warga Indonesia di sekitar Lembah Klang pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Mohammed Saupee)
Antara rampasan barang kes susulan penahanan dua warga Indonesia di sekitar Lembah Klang pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Mohammed Saupee)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua warga Indonesia disyaki berperanan sebagai 'runner' bagi sindiket pemalsuan cap keluar masuk sempadan negara dan permit kerja diberkas di sekitar Lembah Klang, pada Khamis.

Suspek membabitkan seorang lelaki dan wanita berusia 42 dan 43 tahun masing-masing ditahan di Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, Ops Serkap bermula jam 1 tengah hari itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil risikan lebih sebulan.

Katanya, semakan mendapati suspek lelaki menggunakan pas lawatan sosial yang tamat tempoh, manakala suspek wanita mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) bagi sektor pembinaan yang sah.

"Pasukan operasi telah merampas pelbagai barang antaranya empat naskhah pasport antarabangsa, dua cap keselamatan keluar dan masuk KLIA, dua cap keselamatan keluar dan masuk disyaki dari Indonesia, wang tunai RM40,000 serta telefon bimbit (2 unit).

"Sebuah motosikal disyaki diguna untuk aktiviti pengedaran turut disita," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menyasarkan warga Indonesia dan Bangladesh dengan mengenakan bayaran RM350 untuk pelekat PLKS serta RM50 bagi setiap satu cap palsu di pasport.

Katanya, ketika ditangkap suspek lelaki merayu untuk dilepaskan kononnya tiada pekerjaan tetap.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Seksyen 56(1a)(B) akta yang sama," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!