Ribut: Ibu dalam pantang nekad selamatkan bayi baru lahir

Ahmad Samsuri (tengah) bersama isteri meluangkan masa melawat Siti Aishah sekeluarga di Kampung Pantai Seberang Marang pada Jumaat.
Ahmad Samsuri (tengah) bersama isteri meluangkan masa melawat Siti Aishah sekeluarga di Kampung Pantai Seberang Marang pada Jumaat.
A
A
A

MARANG - Mangsa ribut di Kampung Surau Haji Said, Seberang Marang dekat sini nekad menyelamatkan diri bersama bayi yang baru lahir ketika bencana ribut melanda kawasan rumahnya Rabu lalu.

Siti Aishah Mohamed, 24, berkata, kejadian ribut sekitar jam 4.45 petang itu merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan kerana dia masih berpantang selepas melahirkan anak ketiganya, Muhammad Zayyad Zafran Kamarul Bahrin yang berusia 37 hari.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu dia hanya mampu mencari tempat berlindung agar tiga anaknya termasuk yang berusia tiga dan lima tahun selamat.

“Waktu ribut kuat tu rumah saya bergegar sehingga sebahagian atap rumah melayang diterbangkan angin. Waktu tu suami segera panggil supaya saya dapat berlindung di tempat selamat di dalam rumah untuk mengelak daripada ditimpa serpihan atap dan kayu.

"Apabila ribut semakin buruk, suami membawa saya dan anak-anak berlindung di dalam kereta yang berada di pekarangan rumah. Waktu tu kami sekeluarga hanya mampu berdoa tiada kejadian buruk berlaku," katanya ketika di temui pemberita dekat sini pada Jumaat.

Siti Aishah yang melahirkan anak ketiganya pada 12 Jun lalu berkata, ketika kejadian, dia kebetulan sedang melayani tetamu yang menziarahi mereka sekeluarga selepas abangnya, Ahmad Firdaus Mohamed, 36, meninggal dunia.

"Ketika itu, hujan lebat bersama angin kencang yang datang mengejut sebelum saya dan suami berlindung di tempat lebih selamat.

"Pada masa yang sama, beberapa tetamu yang berada di dalam rumah juga segera keluar rumah menyelamatkan diri setelah mendapati rumah saya bergegar ditimpa angin kencang.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun rumah kami rosak, saya bersyukur kerana kami sekeluarga dan tetamu datang selamat, " katanya.

Siti Aishah bersama anak dan suami bersyukur menerima sumbangan berupa barangan keperluan selepas kediaman mereka di Kampung Pantai Seberang Marang dilanda ribut.
Siti Aishah bersama anak dan suami bersyukur menerima sumbangan berupa barangan keperluan selepas kediaman mereka di Kampung Pantai Seberang Marang dilanda ribut.

Dalam pada itu, Siti Aishah dan suaminya, Kamarul Bahrin Kamarulzaman, 28, meluahkan rasa syukur kerana menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman yang meluangkan masa menziarahi mereka pagi Jumaat.

Selain menerima kunjungan pemimpin nombor satu negeri itu, Siti Aishah dan suami turut menerima sumbangan bantuan barangan keperluan dan khidmat membaiki struktur rumah yang rosak.

"Kami bersyukur sebab dapat bertemu dengan Menteri Besar dan isteri. Kami juga tak sangka terima bantuan barangan keperluan kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami sekeluarga," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!