UMNO akan dakwa ADUN Rembia di mahkamah

Ahmad Maslan. Laporan Sinar Harian
Ahmad Maslan. Laporan Sinar Harian
A
A
A

PONTIAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang bertindak menyertai Pas bakal diheret ke mahkamah selain perlu membayar denda RM100 juta.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia susulan perjanjian dan akujanji ditandatangani oleh semua calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, ketika PRN Melaka berlangsung pada tahun 2021 semua calon yang mewakili BN telah bersetuju menandatangani perjanjian tersebut termasuk dikenakan bon jika lompat parti.

"Apa yang Dr Akmal (Ketua Pemuda UMNO) sebut Muhamad Jailani kena bayar RM100 juta itu betul. Memang ada perjanjian bagi memperingatkan calon-calon BN agar tidak mengkhianati parti.

"Tentunya pimpinan UMNO akan mengambil tindakan susulan selain tindakan oleh kerajaan negeri Melaka untuk melihat akta lompat parti dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas menghadiri Program Pontian di Hatiku di Dewan Muafakat Taman Saujana dekat sini pada Jumaat.

Ahmad (dua dari kanan) beramah mesra dengan penderam darah pada Program Pontian di Hatiku di Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kanan) beramah mesra dengan penderam darah pada Program Pontian di Hatiku di Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, tindakan mendakwa wakil rakyat yang melompat parti telah dilakukan ke atas bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Abdul Kadir oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan diarahkan membayar denda RM10 juta oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Denda dikenakan BN pula sebanyak RM100 juta. Ia bagi mengingatkan wakil rakyat BN supaya tidak sesekali melanggar perjanjian.

"Denda sebanyak RM100 juta itu merupakan kos yang ditanggung oleh parti dan nilai jenama logo BN serta segala perbelanjaan yang dikeluarkan BN semasa mereka bertanding pada pilihan raya membabitkan PRN mahupun PRU.

"Tindakan mengenakan perjanjian ini diambil susulan dari tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang ke parti Warisan Sabah (Warisan) selepas PRU14 pada tahun 2018. Pada masa itu belum ada akta anti lompat parti," ujarnya.

Ditanya mengenai keperluan mengisytiharkan kerusi DUN Rembia kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang perlu diadakan, jelasnya ia bergantung kepada kerajaan negeri Melaka dan Speaker DUN.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.

Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.

UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!