Pejabat Parlimen Kulai, empat SJKC dipecah masuk
KULAI - Pejabat Parlimen Kulai dan empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini dipecah masuk dalam kejadian baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, kejadian tersebut berlaku dalam jarak masa yang dekat dan laporan polis sudah pun dibuat bagi membolehkan siasatan dan tangkapan dilakukan.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, pejabatnya di bandar ini dipecah masuk kira-kira dua minggu lalu dan beberapa barangan dilaporkan hilang.
"Jumlah kerugian libatkan ribu ringgit, antara yang hilang ialah tablet dan telefon bimbit. Kami juga perlu menggantikan CCTV (kamera litar tertutup).
"Telefon bimbit diguna pakai dalam pejabat hilang, begitu juga dengan tablet untuk mencatat aduan daripada pengadu-pengadu dan apa-apa maklumat yang kami terima.
"Saya serahkan kepada pihak polis dan saya percaya bahawa IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kulai akan buat yang terbaik dan mengambil tindakan cepat untuk mengenal pasti siapa di belakang kejadian tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Tapak Menara Telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun di sini pada Jumaat.
Nie Ching berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan semua maklumat yang diperlukan sudah diberikan semasa siasatan.
Beliau berharap kejadian tersebut tidak berulang dan suspek dapat segera ditangkap supaya penduduk di sini merasa selamat dan tidak takut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kejadian pecah Pejabat Parlimen Kulai itu berlaku pada 9 Julai lalu dan kes disiasat bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!