Bersih cadang penubuhan SPPR, JBPR kukuhkan akauntabiliti SPRM
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) yang bertanggungjawab melantik Ketua Pesuruhjaya dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh kebebasan dan akauntabiliti suruhanjaya itu.
Jawatankuasa Pemandu Bersih menerusi kenyataan berkata, suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab menyerahkan cadangan nama kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk dipertimbangkan atas nasihat Perdana Menteri.
Selain itu, SPPR juga berhak dalam prosedur melucutkan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekiranya individu itu terlibat dalam kes salah laku atau hilang upaya dalam menjalankan tugas.
"Tempoh Ketua Pesuruhjaya perlu ditetapkan hanya untuk lima tahun. Bagi mengelakkan kekeliruan, SPRM dicadangkan untuk ditukar semula kepada nama asal seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"SPPR yang dibentuk perlu mempunyai pengerusi yang dilantik daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi selain empat hingga 10 ahli lain dilantik oleh YDPA berdasarkan budi bicara Baginda selepas mempertimbangkannya atas nasihat Perdana Menteri serta Ketua Pengarah SPRM sebagai ahli 'ex-officio'," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Bersih berpandangan, satu Jawatankuasa Bersama Parlimen berkenaan Hal Ehwal Rasuah (JBPR) perlu diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang bertanggungjawab menyemak laporan daripada SPPR dan SPRM.
Menurutnya, jawatankuasa itu bertanggungjawab menyemak dan mengesahkan cadangan lantikan jawatan kanan badan pencegahan rasuah kepada YDPA.
"JBPR harus meneliti dan mengesahkan nasihat Perdana Menteri berkenaan lantikan pengerusi dan ahli-ahli SPPR.
"Jawatankuasa perlu terdiri daripada keanggotaan yang mencerminkan komposisi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Pembangkang.
"Keanggotaan JBPR terdiri antara lapan hingga 12 anggota yang dilantik YDPA dengan nasihat bersama Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat," jelasnya.
Bersih menegaskan, kewujudan badan penting itu akan melindungi kebebasan SPRM dalam menjalankan operasi serta menjamin akauntabiliti badan pencegah rasuah menerusi tindakan pemantauan yang lebih ketat.
Oleh yang demikian menurutnya, Bersih akan meluaskan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya kerajaan bagi menggerakkan pelaksanaan agenda Reformasi SPRM sebagai langkah menambahbaik sistem tatakelola negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!