'Tidak dimaklumkan senarai penyumbang' - Aiman Athirah
SHAH ALAM - "Sebagai tetamu yang diundang, saya tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program," kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menyuarakan penjelasannya selepas gambar yang memaparkan kehadiran sebuah syarikat minuman keras sebagai salah satu penyumbang semasa Konsert Amal Pendidikan tular di media sosial.
Menurutnya, beliau mengambil maklum mengenai gambar yang memaparkan dirinya bersama individu lain dengan replika cek sumbangan syarikat arak sebanyak RM 3,175,034.88.
“Sebagai makluman, undangan tetamu jemputan dibuat oleh Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tche Min bagi menjemput semua penyumbang termasuk saya yang memberikan RM100,000 kepada lembaga pengurusan sekolah.
"Terdapat juga penyumbang persendirian serta syarikat-syarikat termasuk Syarikat Tiger yang menyumbang sebanyak RM3 juta dan alumni sekolah serta penduduk membeli meja sebanyak 160 buah bagi menambah kutipan dana pada malam tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang pada Khamis.
Pada 14 Julai, Aiman Athirah menghadiri undangan Lembaga Pengurusan SJKC di Sepang untuk Konsert Amal Pendidikan yang bertujuan mengumpul dana bagi membina dewan sekolah yang berdiri sejak 30 tahun lalu.
Program berkenaan turut dirasmikan oleh Exco Selangor, Ng Suee Lim dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong.
Selain itu, Aiman Athirah menjelaskan bahawa kehadirannya adalah untuk memberikan sokongan terhadap usaha sekolah untuk mengumpul dana bagi membangunkan dewan yang selesa kepada murid.
"Sebenarnya, saya hadir untuk menyokong usaha pihak sekolah dalam mengumpul dana. Tiada niat lain.
“Sudah menjadi kebiasaan sebelum ini, saya akan usaha sebaiknya untuk hadir ke acara yang dianjurkan oleh sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda komitmen dalam isu pendidikan anak-anak," tambahnya.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) itu berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sepang di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri dan Projek Mesra Rakyat membelanjakan sebanyak RM1.2 juta untuk pendidikan anak-anak di kawasan itu yang jumlahnya hampir 50 peratus daripada peruntukan.
"Antara penerima sumbangan tahun ini termasuk Sekolah Kebangsaan Sungai Lang dengan jumlah RM150,000, Sekolah KAFA Desa Pinggiran Putra dengan jumlah RM200,000, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana dengan jumlah RM130,000," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!