Guru berstatus duda direman amang seksual pelajar

Guru berstatus duda (dua dari kiri) direman bermula Jumaat oleh Mahkamah Majistret.
Guru berstatus duda (dua dari kiri) direman bermula Jumaat oleh Mahkamah Majistret.
A
A
A

MELAKA - Seorang guru lelaki berstatus duda direman di sini, pada Jumaat, bagi membantu siasatan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan di bilik seni di sebuah sekolah menengah di sini, pada Mac lalu.

Perintah reman selama lima hari terhadap suspek berumur 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bermula Jumaat hingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di Mahkamah Majistret kira-kira jam 9 pagi ini dengan menaiki kenderaan polis.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang awal Mac lalu apabila pengadu berusia 16 tahun itu telah dihampiri suspek yang memegang tangannya ketika berada di bilik seni berkenaan.

Katanya, suspek dipercayai telah meraba payudara, paha, mencium serta memberi ‘kissmark’ di leher pengadu sebelum pengadu membuat laporan polis.

"Pengadu juga tidak berpuas hati kerana suspek yang merupakan duda anak seorang itu datang ke rumah keluarganya untuk menyatakan hasrat berkahwin dengan pengadu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sepasukan pegawai pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek di pekarangan sekolah berkenaan kira-kira jam 2.45 petang Khamis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!