Maritim aktifkan Carilamat perlanggaran dua kapal di Tanjung Balau

Salah sebuah kapal yang terbakar setelah berlanggar - foto APMM
Salah sebuah kapal yang terbakar setelah berlanggar - foto APMM
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat), susulan insiden perlanggaran kapal MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 pada awal pagi Jumaat.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, insiden perlanggaran dua kapal itu berlaku di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada jam 6.55 pagi tadi.

Menurutnya, susulan itu satu Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili, dekat sini bagi mengkordinasikan pencarian.

"Pihak Maritime Rescue Sub Center (MRSC) juga telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, Bot Perkara 29, bot Petir12 dari Maritim Malaysia, KD Gempita dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian untuk tindakan Carilamat kedua-dua kapal tersebut.

Anggota serta pegawai Maritim berbincang untuk tindakan selanjutnya - foto APMM
Anggota serta pegawai Maritim berbincang untuk tindakan selanjutnya - foto APMM

"Bot Perkasa 29 yang tiba ke lokasi pada jam 9.50 pagi telah menemukan kedua-dua kapal tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Saiful Lizan berkata, insiden terbabit juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai persediaan untuk tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.

"Selain itu, kita turut mengarahkan pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran.

"Satu sidang akhbar akan diadakan di Tanjung Sedili pada Sabtu dan segala perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!