LKM 2024 sasar penyertaan 3,000 peserta kumpul dana anak yatim

Ismail Sabri (tengah) ketika sidang akhbar di Menara Aras Raya, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ismail Sabri (tengah) ketika sidang akhbar di Menara Aras Raya, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mensasarkan 3,000 penyertaan sempena Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 yang berlangsung pada 29 September tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang berlangsung di Persiaran Flora, Cyberjaya itu terbuka kepada semua dan mempertandingkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (km), 10km serta 21km.

"Larian ini diadakan bagi mengumpul dana untuk memastikan anak-anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19 akan terus mendapat pembelaan.

"YKM memerlukan kira-kira RM1.5 juta setahun untuk meneruskan bantuan kepada hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Akademik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Menara Aras Raya pada Jumaat yang turut dihadiri bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM5 juta setahun terhadap inisiatif YKM dalam membantu anak-anak yatim.

Ismail Sabri (tengah) dan Khairy Jamaluddin (kiri) menunjukkan baju peserta sempena LKM 2024 selepas sidang akhbar di Menara Aras Raya, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ismail Sabri (tengah) dan Khairy Jamaluddin (kiri) menunjukkan baju peserta sempena LKM 2024 selepas sidang akhbar di Menara Aras Raya, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurutnya, program larian tersebut mendapat sokongan yang amat baik daripada banyak pihak khususnya Khairy Jamaluddin yang kini secara rasmi adalah Duta LKM 2024.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pada masa sama program Keluar Sekejap yang diterajui oleh Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut menjadi podcast rasmi LKM 2024.

"Pemilihan saudara Khairy sebagai Duta LKM 2024 bertepatan dengan penglibatan beliau yang aktif dalam sukan larian dan maraton termasuk pengalaman sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Beliau juga memahami denyut nadi anak-anak ini kerana terlibat secara langsung dalam kerajaan untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan ketika pandemik Covid-19 melanda," ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mereka yang berminat untuk sertai perlu membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM85 bagi kategori 21km, RM65 (10km) dan RM45 (5km).

Katanya, bagaimanapun, 2,000 peserta terawal akan mendapat harga promosi pendaftaran iaitu pada RM79 bagi kategori (21km), RM59 (10km) dan RM39 (5km).

Tarikh akhir pendaftaran LKM 2024 adalah pada 7 September tahun ini dan orang ramai boleh melayari laman web rasmi YKM, https://yayasankeluargamalaysia.org.my/atau laman web rasmi LKM 2024, https://lariankeluargamalavsia.com/untuk pendaftaran serta hebahan terbaharu mengenai program berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!