Gangguan IT global jejas pelbagai sektor perkhidmatan

Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran. Foto hiasan
Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran, menurut pelbagai laporan media melalui platform X.

"Gangguan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami gangguan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” menurut Agensi Berita Sputnik melalui akaun X @SputInt.

BBC di akaun X mereka @BBCBreaking melaporkan bahawa gangguan IT besar-besaran itu telah menyebabkan pesawat tidak dapat berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia.

Akaun X Bloomberg @business melaporkan bahawa siri gangguan teknikal yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft, sedang mengganggu perkhidmatan secara global, menjejaskan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan.

Agensi Anadolu menerusi platform X mereka @anadoluagency melaporkan bahawa hospital dan perkhidmatan kesihatan juga terjejas akibat kegagalan pelayan dengan Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan gangguan berkenaan.

Di Australia, Al Jazeera di X @AJEnglish melaporkan gangguan IT besar-besaran menjejaskan bank, telekomunikasi, media dan syarikat penerbangan.

Juga di Australia, Lapangan Terbang Melbourne melalui akaun X @MelAir berkata bahawa ia sedang mengalami isu teknologi global yang menjejaskan prosedur daftar masuk bagi beberapa syarikat penerbangan.

Frontier Airlines melalui akaun X mereka @FlyFrontier melaporkan kesan gangguan Microsoft terhadap sistem mereka, menjejaskan tempahan, daftar masuk, akses kepada pas masuk dan beberapa penerbangan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!