Sistem tiket KTMB turut terkesan gangguan IT global

Kenyataan media yang dikeluarkan KTMB berhubung gangguan berkenaan.
Kenyataan media yang dikeluarkan KTMB berhubung gangguan berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Semua saluran aduan Pusat Khidmat Pelanggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Sistem Tiket Integrasi KTMB (KITS) sedang mengalami gangguan teknikal.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berpunca daripada platform keselamatan siber ‘CrowdStrike’ yang mengalami gangguan.

“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“Terima kasih atas perhatian anda,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Berdasarkan laporan pelbagai media melalui platform X, kebanyakan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran itu.

BBC di akaun X mereka @BBCBreaking melaporkan bahawa gangguan IT besar-besaran itu telah menyebabkan pesawat tidak dapat berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia.

“Gangguan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami gangguan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” menurut Agensi Berita Sputnik melalui akaun X @SputInt.

Akaun X Bloomberg @business melaporkan bahawa siri gangguan teknikal yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft sedang mengganggu perkhidmatan secara global dan menjejaskan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!