Padah ugut mahu cederakan isteri

Tertuduh dikenakan hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat selepas mengaku bersalah mengugut mahu mencederakan isterinya.
Tertuduh dikenakan hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat selepas mengaku bersalah mengugut mahu mencederakan isterinya.
A
A
A

TELUK INTAN - Tindakan seorang lelaki mengugut mahu mencederakan isterinya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat.

Tertuduh, P Kumar, 49, yang bekerja sendiri itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan bayaran denda terbabit.

Majistret T Ashvinii menjatuhi hukuman itu selepas bapa kepada tiga anak terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Kumar didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat menyebabkan cemas kepada RS Kanaga, 43, di hadapan pintu pagar sebuah rumah di Parit 26 Batu Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk sekitar jam 2.40 petang pada 18 Julai 2024.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah tinggal berasingan bersama isterinya sejak empat tahun lalu.

Difahamkan, ugutan jenayah terbabit berpunca daripada salah faham antara suami isteri itu berkaitan isu anak menyebabkan tertuduh berang hingga mengeluarkan kata ugutan.

Artikel Berkaitan:

Pada hari kejadian, mangsa telah mengirimkan pesanan melalui WhatsApp memaklumkan tertuduh tidak perlu mengambil anak di sekolah.

Apabila ke sekolah dan menyedari anaknya telah diambil mangsa, tertuduh naik berang hingga menyebabkan dia mengugut untuk mencederakan isterinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!