KJ akui tak sertai mana-mana parti kerana masih sayangkan UMNO

Khairy Jamaluddin (kiri) bersama Ismail Sabri ketika sidang akhbar LKM 2024 di Menara Aras Raya pada Jumaat.
Khairy Jamaluddin (kiri) bersama Ismail Sabri ketika sidang akhbar LKM 2024 di Menara Aras Raya pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akui tidak menyertai mana-mana parti sehingga kini kerana masih sayangkan parti lamanya.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau masih menganggap dirinya sebagai ahli UMNO meskipun telah dipecat daripada parti berkenaan sejak Januari tahun lalu.

“Saya tak sertai mana-mana parti politik sebab saya tak anggap saya keluar daripada UMNO, sebab saya dipecat.

"Jadi orang yang kena pecat ini, dia masih lagi sayang dengan parti lama, sebab itu saya tidak keluar (daripada UMNO)," katanya ketika sidang akhbar Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya pada Jumaat.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Dalam pada itu, mengulas mengenai kesediaan beliau untuk memohon kembali kepada UMNO susulan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tunggu dan melihat keadaan semasa dahulu.

“Itu satu kenyataan menarik daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tengoklah macam mana nanti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Januari tahun lalu, selain Khairy Jamaluddin, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Pada 5 Julai, Ahmad Zahid mendedahkan pihaknya menerima banyak permohonan daripada bekas ahli untuk kembali menyertai kembali parti berkenaan.

Menurutnya, semua permohonan tersebut akan dibawa kepada Lembaga Disiplin sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk dimuktamadkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!