KLIA sesak, penumpang terjejas di KLIA Terminal 2

Keadaan sesak di kaunter pendaftaran KLIA Terminal 2 pada Jumaat. (Gambar kecil: Syahrul Azlan)
Keadaan sesak di kaunter pendaftaran KLIA Terminal 2 pada Jumaat. (Gambar kecil: Syahrul Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Perjalanan penumpang AirAsia terjejas dipercayai sistem pengesahan daftar masuk syarikat penerbangan kos rendah tersebut mengalami gangguan teknikal.

Perkara itu dikongsikan oleh pengguna media sosial, Syahrul Azlan Abdullah, 33, yang menyaksikan secara langsung kesesakan di kaunter daftar masuk.

Ketua rombongan pelancongan itu berkata, orang ramai perlu datang dengan segera ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 untuk beratur lebih awal di kaunter pendaftaran.

“Semua sistem daftar masuk penerbangan AirAsia mengalami gangguan teknikal.

“Jadi, mana yang ada penerbangan dalam masa terdekat, sila datang awal ke KLIA Terminal 2.

“Yang mana belum ada tiket atau nak hantar bagasi, wajib beratur di kaunter,” katanya menerusi hantaran di X pada Jumaat.

Bagaimanapun, media melaporkan Perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan sebahagian besar perjalanan tergendala di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan lapangan terbang Australia.

Kios daftar masuk penerbangan terlihat kosong dipercayai sistem pengesahan daftar masuk syarikat penerbangan kos rendah tersebut mengalami gangguan teknikal pada Jumaat.
Kios daftar masuk penerbangan terlihat kosong dipercayai sistem pengesahan daftar masuk syarikat penerbangan kos rendah tersebut mengalami gangguan teknikal pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

AirAsia dalam kenyataan terbaharu di X memaklumkan sistem asas tempahan dan daftar masuk terjejas kerana isu IT global yang mempengaruhi syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Menurutnya, penumpang mungkin mengalami proses daftar masuk dan barisan yang lebih lambat atau panjang, jadi pihak syarikat sedang berusaha untuk menangani situasi tersebut.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, seluruh kaunter kelihatan sesak kerana pendaftaran penerbangan harus dibuat secara manual kerana gangguan berkenaan.

Syahrul yang mengetuai kumpulan pelancongan hampir 10 tahun itu memaklumkan tidak pernah melihat kesesakan yang terlalu ramai di lapangan terbang tersebut.

“Memang penuh orang tengah beratur di setiap kaunter (domestik dan antarabangsa) untuk daftar masuk. Kios memang luar talian,” katanya ringkas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!