'Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya diberi peluang bela diri' - KJ
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terlebih dahulu bagi membela diri sebelum keputusan menggantung beliau daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan dimuktamadkan.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, meskipun isu melibatkan penggantungan di Dewan Rakyat itu bukan satu perkara baharu, namun keputusan terhadap Wan Ahmad Fahysal tersebut disifatkan sebagai masalah penafian bagi proses ruang keadilan.
“Saya bersependapat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. Bukan tidak pernah berlaku penggantungan oleh Majlis di dalam Dewan tetapi ia bagi tujuan dan keadaan tertentu, contohnya menghina Speaker, degil, tidak mahu mengikut arahan dan sebagainya.
"Dalam kes ini, perbahasan telah berlangsung. Biasanya apa yang sepatutnya dibuat adalah ahli Parlimen itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
"Sebab dalam jawatankuasa tersebut, dia diberi hak mempertahankan diri. Dalam kes ini, memang ada masalah dari segi penafian bagi proses ruang keadilan," katanya ketika sidang akhbar Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya pada Jumaat.
Pada Khamis, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan selepas undi belah bahagi tidak berpihak kepadanya.
Usul tersebut dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said susulan dakwaan Wan Ahmad Fayshal mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, berdasarkan undian, seramai 110 ahli Parlimen bersetuju dengan usul berkenaan, manakala 63 lagi tidak bersetuju sementara tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin turut mengulas mengenai ucapan penggulungan Azalina berhubung Wan Ahmad Fayhsal di Dewan Rakyat.
"Walau apapun itu, kita boleh bahas di dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebab itulah fungsi ia ditubuhkan supaya ahli Parlimen ada hak untuk membela diri.
"Katalah kamu dituduh membuat satu kesalahan, adil atau tidak kalau dipecat (digantung) begitu saja? Saya rasa tidak adil (kerana) semua ada hak untuk membela diri," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!