131 pekebun durian musang king gagal dapat kebenaran akses kebun di Raub

Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya.
Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seratus tiga puluh satu pekebun durian Musang King dari Raub, Pahang, hari ini gagal dalam usaha untuk mendapatkan kebenaran mengakses kebun durian yang diusahakan mereka sementara menunggu keputusan rayuan terhadap perintah pengusiran.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan pekebun itu untuk mengubah perintah hakim yang tidak membenarkan mereka memasuki kebun bagi menyelenggara dan mengusahakan pokok durian mereka.

Panel Mahkamah Rayuan itu diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Panel itu juga membenarkan permohonan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) supaya dilepaskan daripada tanggungjawab menyelenggara pokok durian berkenaan.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Che Mohd Ruzima berkata, pekebun itu sepatutnya memohon perintah penangguhan di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Terdahulu, peguam PKPP Mohd Fairuz Abdullah, Penasihat Undang-undang Negeri Pahang Datuk Saiful Edris Zainuddin dan peguam Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili responden bersama Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd berhujah bahawa pekebun itu perlu pada peringkat awal memohon perintah penangguhan daripada Mahkamah Tinggi setelah permohonan semakan kehakiman berhubung perintah pengusiran ditolak.

Mereka berhujah bahawa pekebun itu tidak sepatutnya terus ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah penangguhan.

Peguam Brendan Navin Siva yang mewakili pekebun itu, bagaimanapun, dalam hujah balasnya berkata mereka tidak boleh memohon perintah penangguhan di Mahkamah Tinggi kerana tiada perkara yang belum selesai di mahkamah itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berhujah bahawa Mahkamah Rayuan boleh mendengar permohonan penangguhan berkenaan memandangkan rayuan mereka terhadap perintah pengusiran akan didengar di mahkamah itu.

Pada 28 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng menolak permohonan pekebun itu untuk memasuki dusun bagi menyelenggara dan mengusahakan pokok durian terbabit sementara menunggu selesainya rayuan mereka terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan notis pengosongan tanah kepada mereka.

Hakim itu turut mengarahkan supaya pokok durian di atas tanah terbabit tidak ditebang kecuali dengan kebenaran mahkamah dan PKPP menyelenggara pokok terbabit dengan membaja, menyiram, menuai hasil serta menghalang haiwan dan serangga perosak.

Beliau juga memerintahkan PKPP memfailkan afidavit sebelum 10 hari bulan setiap bulan berkaitan gred buah durian terbabit dan harga jualannya.

Pekebun itu kemudiannya memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengubah perintah berkenaan kerana mendakwa PKPP tidak boleh menyelenggara pokok durian dan mereka mahu menjaga sendiri pokok itu sementara menunggu rayuan mereka selesai.

Sementara itu, PKPP memohon untuk mengubah perintah mahkamah yang mengarahkan mereka menyelenggara pokok dan memfailkan afidavit berkaitan gred buah durian berkenaan atas alasan ia melibatkan kos yang besar dan kesukaran untuk melaksanakannya di tanah yang luas.

Pada 24 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan semakan kehakiman pekebun itu yang mencabar keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan notis arahan pengosongan kebun di Raub termasuk kawasan di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau.

Mahkamah mendapati pekebun itu menceroboh tanah serta tidak mempunyai hak dari segi undang-undang dan tindakan kerajaan negeri untuk mengusir mereka adalah tidak berniat jahat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!