NACSA pantau kesan gangguan IT global
KUALA LUMPUR - Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memantau rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan semula operasi sektor terjejas secepat mungkin susulan gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global.
NACSA dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, gangguan yang menjejaskan pengguna Microsoft di seluruh dunia termasuk Malaysia itu telah memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank.
"Di Malaysia, kita dapati terdapat gangguan operasi dalam bidang utama sebagai contoh, operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terjejas, menyebabkan daftar masuk secara manual dan masa menunggu yang panjang.
"Bank turut menghadapi gangguan sistem yang mengganggu transaksi dan perkhidmatan pelanggan. Kami ingin menjelaskan bahawa ini bukan serangan siber tetapi ini isu keselamatan siber yang penting,” menurut kenyataan itu.
NACSA menyebut kesan gangguan IT itu terhadap Malaysia adalah besar kerana ia menyebabkan kelewatan dan cabaran operasi merentasi pelbagai sektor yang menjejaskan perniagaan dan orang awam.
Bagi menangani situasi itu, NACSA mengesyorkan pihak terlibat untuk sentiasa berwaspada dan memantau secara berterusan pengumuman, penyelesaian dan kemas kini daripada vendor selain memantau dan menguruskan sebarang penyelesaian sementara untuk mengurangkan potensi risiko baharu.
"NACSA komited untuk memastikan keselamatan dan daya tahan infrastruktur siber negara. Kami akan terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada organisasi terjejas pada masa yang mencabar ini.
"Kami sedang dalam proses mengumpul statistik lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila ia tersedia," menurut kenyataan itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!