Padah merokok, minum arak

Miyata sepatutnya mengetuai pasukan gimnastik artistik wanita Jepun di Olimpik Paris 2024. Foto: Agensi
Miyata sepatutnya mengetuai pasukan gimnastik artistik wanita Jepun di Olimpik Paris 2024. Foto: Agensi
A
A
A

GIMNAS muda serta harapan Jepun di Sukan olimpik Paris 2024, Shoko Miyata, 19, telah disingkirkan daripada pasukan selepas ditangkap merokok dan minum arak, kata pegawai pada Jumaat.

Pemenang pingat gangsa dunia dan kapten pasukan gimnastik artistik wanita Jepun itu dihantar pulang dari kem latihan mereka di Monaco dan mengakui dia telah melanggar kod etika mereka.

“Dengan pengesahannya dan selepas perbincangan dari semua pihak, telah diputuskan bahawa dia akan menarik diri daripada Olimpik,” kata setiausaha agung Persatuan Gimnastik Jepun (JGA), Kenji Nishimura kepada wartawan di Tokyo.

Nishimura berkata persatuan telah diberitahu bahawa Miyata dilihat merokok di Tokyo pada akhir bulan Jun atau awal Julai.

Dia juga dikatakan meminum arak di sebuah bilik di pusat latihan kebangsaan Jepun.

Merokok dan minum arak adalah dilarang ke atas individu yang berusia bawah umur 20 tahun di Jepun.

Nishimura berkata, tidak jelas sama ada Miyata berada di majlis parti atau minum sendirian.

“Menjadi anggota pasukan gimnastik kebangsaan Jepun adalah kedudukan di mana anda sentiasa mempunyai tuntutan yang tinggi,” kata pengerusi JGA, Tadashi Fujita.

Artikel Berkaitan:

Fujita berkata, bahawa Miyata telah kembali ke Jepun selepas meninggalkan kem pasukan sambil menegaskan bahawa JGA akan memberikan sokongan kepadanya.

Nishimura berkata, Miyata kelihatan keletihan di kem di Monaco.

“Dia memahami kepentingan peraturan dan dia kelihatan ikhlas dalam menghadapi tingkah lakunya.

“Ia telah menjadi sukar baginya tetapi dia telah bercakap secara terbuka dan jujur mengenainya,” ujar Nishimura.

Miyata memenangi gangsa dalam acara balok keseimbangan di kejuaraan dunia 2022 di Liverpool.

Dia memenangi gelaran keseluruhan di kejuaraan kebangsaan Jepun awal tahun ini.

Miyata dijangka mengetuai pasukan yang dibarisi hampir keseluruhan gimnas yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik dan dia layak ke Paris pada Mei lalu selepas menjuarai Kejuaraan Kebangsaan Jepun kali ketiga berturut-turut.

Harapan tinggi disandarkan kepada pasukan gimnastik wanita yang memburu pingat berpasukan pertama di Paris sejak Sukan Olimpik 1964.

Gimnastik artistik antara sukan popular di temasya musim panas itu yang bakal berlangsung pada 21 Julai sehingga 5 Ogos.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!