UMNO perlu guna cara baharu - Shamsul Anuar
ALOR SETAR - UMNO perlu menggunakan pendekatan dan cara baharu bagi menghadapi perubahan-perubahan berlaku terutamanya dalam kalangan anak muda bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia memandangkan generasi muda akan menjadi penentu masa depan sebuah parti.
Beliau berkata, keadaan demografi politik ketika ini yang berbeza tentunya menyebabkan generasi muda mempunyai sikap, cara dan pemikiran berbeza.
"Baik (ubah) dari segi cara bekerja kita dan juga barangkali (ikut) idea, kemahuan dan citarasa anak muda, maknanya memenuhi impian yang mereka inginkan.
"Tapi, kekal (dan) UMNO mesti mempertahankan prinsip dan perjuangan parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan UMNO, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau menjelaskan, prinsip perjuangan UMNO tidak berubah, namun pendekatan digunakan perlu diubah bersesuaian dengan perubahan politik yang berlaku.
Shamsul Anuar berkata, UMNO perlu mengambil contoh mengenai beberapa parti politik di luar negara apabila perubahan sokongan berlaku dengan begitu cepat.
Menurut beliau, UMNO sendiri pernah berdepan situasi menang besar di Melaka dan memperoleh 2/3 kerusi di Johor dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
Bagaimanapun, kongsi Shamsul Anuar, perubahan berlaku dalam tempoh tidak sampai setahun apabila UMNO tidak memenangi satu kerusi Parlimen sekalipun di Melaka.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan, pendekatan parti mesti berubah sesuai dengan perubahan-perubahan keadaan semasa.
"Jika, kita tidak mempelbagaikan pendekatan (dan) kita kekal dengan pendekatan lama (sedangkan) rakyat sudah berubah. Kita bimbang kita akan menghadapi (dan) mendapat keputusan lebih teruk.
"Sebab itu, saranan saya ialah kita kekal dengan prinsip kita cuma pendekatan kita kena berubah dengan perubahan-perubahan yang berlaku," katanya.
Menurutnya, beberapa perubahan perlu dilakukan termasuklah cara parti bekerja dan berhadapan dengan rakyat.
"Kumpulan anak muda pun berbeza mengikut umur dan sebagainya. Jadi bagaimana kita nak memenuhi perubahan-perubahan di kalangan anak muda itu menjadi satu cabaran besar," katanya.
Beliau berpandangan, UMNO tidak mempunyai pilihan dan harus melakukan perubahan itu dengan kadar segera.
"Jikalau tidak, kita tidak akan mendapat sokongan daripada anak muda tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!