Qunut Nazilah untuk penyokong genosid - Wan Ahmad Fayshal

Kenyataan Wan Ahmad Fayshal menerusi laman Instagramnya.
Kenyataan Wan Ahmad Fayshal menerusi laman Instagramnya.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menafikan bacaan Qunut Nazilah untuk mendoakan kehancuran ahli politik dalam kerajaan sebaliknya ditujukan kepada penyokong genosid.

Wan Ahmad Fayshal menerusi laman Instagramnya berkata, penyokong genosid itu seperti BlackRock yang bersubahat membunuh rakyat Palestin.

"Saya ada di dalam dewan yang mulia ketika doa Qunut Nazilah dibacakan, ia tidak tujukan kepada Kerajaan Perpaduan, apatah lagi kepada Yang Dipertua ataupun Perdana Menteri.

"Doa itu kepada pengkhianat yang bersubahat membantu pembunuhan beramai-ramai rakyat di Gaza seperti BlackRock yang jelas terpalit dengannya, bukan kepada kamu," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan bacaan Qunut Nazilah untuk mendoakan kehancuran seteru politik Islam sebagai amalan extremis dan pelampau.

Tegas Saifuddin Nasution, tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail membacakan doa tersebut di dalam Dewan Rakyat selepas penggantungan enam bulan Wan Ahmad Fayshal harus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan.

Tambah Wan Ahmad Fayshal, doa itu bersifat umum bukan khusus kepada seteru politik seperti yang didakwa.

"Yang kamu menggelupur dan terasa ini kenapa?

Artikel Berkaitan:

"Nampaknya Menteri Dalam Negeri ini cepat bersangka buruk dalam soal ini. Jangan risau kami bukan Khawarij seperti yang kamu cuba momokkan," katanya.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan kerajaan agar menarik diri daripada melabur dalam Global Infrastructure Partners (GIP) kerana tidak memberi sebarang kepentingan kepada Malaysia sama ada dari segi moral, ekonomi mahupun merit.

Katanya, tindakan itu juga merugikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kerana terpaksa berkongsi keuntungan daripada milik sepenuhnya kerajaan Malaysia kepada syarikat pro Zionis.

Beliau berkata, dalam masa sama ia seolah-olah seperti bersubahat dengan Israel secara tidak langsung kerana bekerjasama dengan BlackRock dan GIP.

Sementara itu, isu BlackRock yang didakwa ingin memiliki pegangan dalam MAHB itu kembali memanaskan persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Selasa.

Kekecohan itu bermula ketika Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Awang ketika perbahasan mendakwa Global Infrastructure Partners (GIP) memiliki 100 peratus BlackRocks.

Bagaimanapun menurut Kementerian Kewangan (MOF), sebarang keputusan sama ada untuk mengkaji semula tawaran pengambilalihan MAHB hanya akan dibuat oleh pihak yang berkaitan memandangkan tawaran itu bersifat komersial,

Secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan MAHB merupakan urusan transaksi komersial yang dikemukakan konsortium diterajui dua pemegang saham sedia ada MAHB iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!