Gaji pemain KL City mula dibayar
KHABAR gembira buat para pemain Kuala Lumpur (KL) City FC apabila tunggakan gaji mereka akan mula dibayar secara berperingkat bermula pada Jumaat dan minggu depan.
Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn. Bhd, Syed Yazid Syed Omar berkata, tunggakan melibatkan gaji April dan Mei dan pembayaran tersebut pasti melegakan mereka setelah berdepan kekangan kewangan sebelum ini.
Beliau berkata, baki tunggakan gaji melibatkan pemain yang mempunyai kontrak sehingga dua tahun bermula musim lalu pula akan dilunaskan secara berfasa dalam tempoh 12 bulan.
“Ia melibatkan gaji bulan Januari, Februari dan Mac 2024. Tunggakan ini membabitkan beberapa pemain termasuk Paulo Jouse,” katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Pemain naturalisasi itu sebelum ini mendedahkan majikannya tidak menjelaskan gajinya selama tujuh bulan.
Syed Yazid yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan, pembayaran gaji pemain perlu dilunaskan seperti yang termaktub dalam kontrak perjanjian tanpa sebarang kompromi.
“Pada saya memang kena bayar penuh kerana kita kena ikut kontrak yang dipersetujui. Kita sudah terlepas beberapa bulan dan saya tidak bersetuju kalau kita minta diskaun kerana kena bayar gaji pemain secara penuh.
“Kalau tidak, ini tidak adil kepada pemain yang ada komitmen sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!