Individu dikompaun RM25,000, muat naik kandungan palsu - SKMM

Suspek (kiri) sedang dirakam percakapan berhubung tindakannya memuat naik kandungan palsu di media sosial.
Suspek (kiri) sedang dirakam percakapan berhubung tindakannya memuat naik kandungan palsu di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang individu dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 kerana memuat naik kandungan palsu di media sosial berkaitan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata, selain melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) itu, individu tersebut turut menggunakan perkataan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum.

“Individu berkenaan telah memuat naik status di Facebook yang menyebut bahawa majlis tahunan anjuran kerajaan itu tidak akan diadakan kali ini setelah dipengaruhi oleh pihak tertentu.

“Seksyen 233 AKM 1998 melarang antara lain pembuatan atau penghantaran komunikasi yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya pada Jumaat.

Menurut kenyataan SKMM, orang ramai diingatkan untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian bagi menyebarkan sebarang kandungan

tidak sahih atau palsu.

“Orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang maklumat yang diterima dan jika tidak pasti, rujuk dahulu dengan pihak berwajib atau sumber-sumber rasmi untuk pengesahan.

Artikel Berkaitan:

“SKMM memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi media sosial. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” ujar kenyataan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!