Kapal kontena berdaftar di Singapura diserang di Teluk Aden

Lobivia terbakar selepas diserang peluru yang belum dikenal pasti ketika transit di Teluk Aden. Foto VesselFinder.
Lobivia terbakar selepas diserang peluru yang belum dikenal pasti ketika transit di Teluk Aden. Foto VesselFinder.
A
A
A

SINGAPURA - Sebuah kapal kontena yang didaftarkan di Singapura, Lobivia terbakar selepas diserang peluru yang belum dikenal pasti ketika transit di Teluk Aden.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, semua kru selamat dan berjaya memadamkan kebakaran.

Tiada warga Singapura di atas kapal itu.

"Lobivia telah tiba di Pelabuhan Berbera, Somalia dengan daya penggeraknya sendiri untuk menilai kerosakan dan pembaikan. MPA sedang berhubung dengan pengurus kapal untuk menawarkan bantuan," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

MPA dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengurus kapal kira-kira 10.30 pagi Jumaat.

Pusat Gabungan Maklumat Tentera Laut Republik Singapura juga telah memaklumkan rakan keselamatannya di rantau ini untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan.

Dalam perkembangan berasingan, MPA berkata, semua kru telah ditemui dalam misi menyelamat berikutan kebakaran di atas dua kapal tangki kira-kira 55 kilometer timur laut Pedra Branca dalam Kawasan Pencarian dan Penyelamatan Maritim Singapura pada pagi Jumaat.

Ia berkata, terdapat 22 kru di atas kapal tangki yang didaftarkan di Singapura, Hafnia Nile dan 40 anak kapal di atas kapal tangki yang didaftarkan di Sao Tome dan Principe, Ceres 1.

Artikel Berkaitan:

Sebuah kapal frigat kelas Formidable Tentera Laut Republik Singapura, RSS Supreme telah menyelamatkan 16 kru Hafnia Nile.

Enam lagi kru yang berada di dalam rakit penyelamat Hafnia Nile telah diselamatkan oleh kapal kerajaan Malaysia dan dipindahkan ke RSS Supreme.

"RSS Supreme sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura dengan kesemua 22 kru Hafnia Nile. Semua anak kapal Hafnia Nile sedang menerima rawatan perubatan di atas RSS Supreme," kata MPA.

Sementara itu, sebuah kapal bekalan berdaftar di Singapura, Dolphin 1 yang berada di kawasan kejadian, telah menyelamatkan 14 anak kapal Ceres 1 yang mana dua daripadanya telah dipindahkan oleh helikopter Tentera Udara Republik Singapura dan kini sedang menerima rawatan perubatan di Hospital Besar Singapura.

Baki 26 kru Ceres 1 sedang menjalankan operasi memadam kebakaran di atas kapal.

"Aset penyelamat dan pemadaman kebakaran telah diatur oleh kedua-dua pemilik kapal untuk menyokong usaha memadam kebakaran dan seterusnya menunda kapal ke tempat selamat. Trafik navigasi tidak terjejas," kata MPA. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!