Jangan cetus situasi panik sebar berita palsu koronavirus
SHAH ALAM - Masyarakat dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu mengenai penyebaran koronavirus kerana boleh mengakibatkan panik dan kerisauan berlebihan kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dalam satu kenyataan berkata, masyarakat boleh mendapatkan laporan sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa sahaja.
“Saya mohon wabak koronavirus yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp tidak dipanjangkan kepada kumpulan lain jika sumber maklumat itu tidak diketahui," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kes koronavirus di Melaka, Negeri Sembilan
Menurutnya, orang ramai disaran mengelakkan perjalanan ke China jika tiada keperluan selain tidak mengunjungi tempat sesak.
"Sentiasa amalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan menggunakan sabun atau antiseptik terutama jika ke tempat awam atau mengunjungi hospital.
“Jika alami batuk dan selesema, pakailah topeng muka dengan betul. ‘Surgical mask’ tidak boleh menghalang virus di udara daripada tersedut ke saluran pernafasan tetapi boleh menghalang semburan cecair dari mulut dan hidung kita tersembur ke udara,” katanya.
Katanya, amalan itu untuk mencegah sebaran segala kuman dan virus dari saluran pernafasan.
KKM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung seorang warga China yang bekerja di Bintulu, Sarawak yang disyaki dijangkiti koronavirus menjadikan jumlah dirawat di hospital dalam negara adalah lima orang.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, individu tersebut sedang dikuarantin di Hospital Bintulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!