Beberapa laporan gangguan IT global kini dalam proses pembaikan - Gobind
SHAH ALAM - Kerajaan telah menerima beberapa laporan melibatkan gangguan siber secara besar-besaran yang kini dalam proses pembaikan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya bagaimanapun sedang memantau situasi berkaitan perkara tersebut dengan rapat.
“Kami telah menerima beberapa laporan gangguan yang kini dalam proses pembaikan.
“Segala langkah sedang diambil bagi menangani masalah ini dan menyelesaikannya dengan kadar segera,” katanya dalam hantaran di platform X pada Jumaat.
Berdasarkan laporan pelbagai media melalui platform X, kebanyakan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan IT global.
BBC di akaun X mereka @BBCBreaking melaporkan bahawa gangguan IT global itu telah menyebabkan pesawat tidak dapat berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia.
Akaun X Bloomberg @business turut melaporkan bahawa siri kekacauan teknikal yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft sedang menjejaskan perkhidmatan secara global dan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!