Aktiviti penempatan Israel langgar undang-undang antarabangsa - ICJ

Kenderaan tentera Israel berhampiran sempadan Israel-Gaza. Foto Xinhua
Kenderaan tentera Israel berhampiran sempadan Israel-Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

MOSCOW - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa aktiviti penempatan Israel di Wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa, kata Presiden ICJ, Nawaf Salam pada Jumaat.

Semasa pendengaran, Salam berkata, mahkamah itu telah mengesahkan bidang kuasanya untuk mengeluarkan pendapat nasihat mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di Wilayah Palestin, dengan menyatakan bahawa ia mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai perkara itu, lapor Sputnik.

Dasar penempatan Israel tidak mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, kata Salam kepada mahkamah.

Beliau berkata, aktiviti penempatan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa terus berkembang.

"Pendudukan Israel di Wilayah Palestin adalah pengilhakan de facto, yang melanggar hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri," katanya.

ICJ di The Hague mengadakan pendengaran dari 19 hingga 26 Februari mengenai kesan undang-undang terhadap pendudukan Israel di Wilayah Palestin, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Semasa mesyuarat itu, lebih daripada 50 negara dan tiga organisasi antarabangsa - Liga Negara-Negara Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Kesatuan Afrika - membincangkan isu itu.

Delegasi Palestin menggesa mahkamah untuk mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayahnya sebagai tidak sah kerana ia boleh menjadi harapan terakhir untuk penyelesaian dua negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!