Kerja pemadaman Tapak Pelupusan Sampah Semeling diteruskan
SUNGAI PETANI - Kerja-kerja pemadaman api di Tapak Pelupusan Sampah Semeling di Bedong masih diteruskan yang memasuki hari ketujuh hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, untuk kaedah terbaharu, anggota bomba menggunakan kaedah pengeboman air (water bombing) yang dibantu Unit Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang.
“Operasi pemadaman di darat dibahagikan kepada empat sektor, tiga sektor sumber air adalah dari hydrosub dan setiap sektor menggunakan satu aliran dua pancutan 300 kaki, manakala satu lagi sektor sumber air dari tangki air satu aliran tiga pancutan 1,000 kaki,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sayani berkata, bagaimanapun kebakaran semakin berkurang pada lewat petang semalam dan tiada kawasan kebakaran baharu dikesan di lokasi.
Katanya, kerja-kerja pemadaman melibatkan 53 anggota dan pegawai kanan bomba, dibantu 14 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk BBP Sungai Petani, BBP Yan, BBP Kulim Hitech, BBP Tikam Batu, BBP Sik, BBP Jitra, BBP Alor Setar dan BBP Serdang, selain bantuan dari BBP Pengkalan Hulu Perak, BBP Perda Pulau Pinang serta Unit Udara JBPM Subang.
Tapak pelupusan sampah itu terbakar sejak Isnin lalu, melibatkan kawasan seluas kira-kira 55.74 meter persegi daripada jumlah keseluruhan tapak tersebut yang dianggarkan seluas 4 hektar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!