Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong tumpuan hari ini

Suasana sekitar sesi raptai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang akan berlangsung hari ini di Istana Negara. Foto Bernama
Suasana sekitar sesi raptai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang akan berlangsung hari ini di Istana Negara. Foto Bernama
A
A
A

ISTIADAT Pertabalan Yang di-Pertuan Agong baharu menjadi tumpuan rakyat Malaysia hari ini.

Pastinya rakyat teruja untuk menyaksikan kemeriahan istiadat tersebut memandangkan ia hanya diadakan setiap lima tahun di Istana Negara.

Ini kerana perlantikan Yang di-Pertuan Agong diadakan secara bergilir-gilir melibatkan raja-raja di sembilan negeri Melayu seiring dengan sistem Raja Berperlembagaan.

Bagi tahun 2024, semua rakyat Malaysia akan meraikan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.

Peristiwa bersejarah hari ini menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada cabang darat, laut dan udara yang memainkan peranan penting daripada sekecil-kecil tugasan sebagai pembuka pintu kenderaan diraja sehinggalah membentuk Kawalan Kehormatan Utama untuk mempersembahkan Hormat Diraja.

Di samping itu, sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat bermula jam 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

Penutupan jalan secara sementara ini bagi memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan tersebut dan sampai mengikut masa yang telah ditetapkan dan akan dibuka semula selepas melalui laluan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

Khutbah Jumaat khas sempena istiadat pertabalan bertajuk 'Raja Ditaati, Negara Dirahmati' menyebut istiadat hari ini sangat signifikan kerana selain menjadi lambang sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, istiadat itu juga menjulang tinggi darjat Seri Paduka Baginda sebagai payung negara.

Menurut khutbah, Sultan Ibrahim ketika melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lepas menekankan dengan jelas akan menjalankan pemerintahan dengan adil menurut undang-undang dan Perlembagaan.

Pertabalan jawatan ketua negara itu adalah salah satu daripada keunikan Malaysia yang tidak dimiliki oleh negara-negara lain.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan warisan yang dimiliki dan dalam masa sama sentiasa berusaha mempertahankannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!