Pertabalan Agong: Petugas media berkumpul di pintu utama Istana Negara seawal 6 pagi
KUALA LUMPUR - Keterujaan untuk menyaksikan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dirasai di pekarangan Istana Negara di sini seawal jam 6 pagi tadi.
Wakil media pelbagai agensi sama ada dari dalam dan luar negara berkumpul dan bersiap sedia untuk membuat liputan istiadat penuh simbolik dan hanya dapat disaksikan lima tahun sekali itu.
Walaupun hanya berada di luar pintu utama Istana Negara, petugas media tetap mengikut etika pemakaian terutama lelaki yang tampil segak mengenakan baju Melayu hitam, bertanjak, bersamping dan berbengkung serta lengkap dengan keris.
Petugas media wanita pula anggun mengenakan baju kurung dan selendang.
Cuaca pada pagi ini cerah seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi semalam.
Pekarangan pintu utama Istana Negara dikawal rapi oleh anggota pasukan keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menantikan keberangkatan tiba Sultan dan raja-raja Melayu ke istiadat itu.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!